Sewaktu sedang menjamah menu tengah hari di cafe V4 kelmarin, saya didatangi seorang sahabat. Sudah hampir 2 bulan tak bertemu dengan sahabat saya ini. Perwatakannya masih kekal seperti semester-semester lepas. Keramahannya, senyumannya menjadikannya disenangi oleh sesiapa sahaja yang mengenali dirinya.
Banyak perkara yang kami sembangkan. Dari isu politik semasa hinggalah kepada perihal study masing-masing. Sebagai seorang senior yang baru sahaja 'graduate' dalam bidang yang sama, saya sempat menurunkan nasihat-nasihat berguna kepada sahabat saya ini sebagai bekalan berguna bagi meneruskan 'survivor' di bumi bekas lombong bijih timah ini.
Disebabkan minat yang hampir serupa, kami sempat berbicara berkenaan topik kegemaran kami iaitu bisnes. Untuk semester ini, sahabat saya ini berkecimpung dalam perniagaan menjual 'key' untuk satu program antivirus yang menurutnya mampu memberi pulangan yang lumayan. Saya memang optimis dengannya. Sahabat saya ini memang kaki bisnes. Sebelum ini kami pernah bekerjasama menghidupkan satu bisnes di pesta konvo UTP. Walaupun tak banyak sangat untung yang kami peroleh, namun sudah cukup banyak pengalaman yang telah kami kutip.
Kami bertukar topik mengenai pelaburan. Menurut sahabat saya ni, dia sudah 2 kali melabur dalam bisnes MLM di internet dan semuanya berakhir dengan kekecewaan. Lantas dia beralih pula ke bisnes yang agak 'hot' suatu ketika dahulu iaitu program foreign exchange (FOREX), suatu pelaburan berkaitan pembelian matawang asing. Nasib sahabat saya ini agak baik kerana tidak terlalu aktif dalam skim pelaburan ini berbanding abangnya yang kerugian hampir RM 300 000 kerana melabur dalam FOREX ni. Nasibnya bertambah malang kerana pelaburannya merangkumi wang pelabur lain yang diamanahkan kepadanya untuk dilaburkan. Sehingga kini abangnya masih berhutang dengan pelabur-pelabur tersebut.
Pelaburan
“Pelaburan ialah tindakan meletakkan dana bagi satu tempoh untuk memperoleh kadar pulangan yang dikehendaki, dengan menyedari sepenuhnya mengenai risiko yang terbabit. Perkara yang perlu diingat ialah walaupun kadar pulangan boleh dijangka, ia tidak terjamin.”[1]
Definisi pelaburan perlu difahami. Setiap pelaburan mempunyai risiko tersendiri. Kalau tiada risiko bukanlah pelaburan namanya. Risiko pelaburan merangkumi kerugian keatas wang yang dilaburkan. Mungkin juga berupa pulangan yang lambat diperoleh. Semuanya bergantung kepada sejauh mana kemahiran dan ilmu yang dimiliki.
Sudah menjadi tabiat manusia, mahu mendapat keuntungan secepat mungkin. Kalau boleh wang yang dilaburkan mesti membawa pulangan yang lumayan. Mungkin sebab itulah agaknya ramai orang 'kita' selalu tertipu dan terjebak dengan skim-skim cepat kaya, peraduan gores dan menang dan pelbagai skim-skim pelaburan palsu yang lain.
Apabila duit dan habuan dunia menjadi tujuan, memang perkara inilah yang selalu terjadi. Maka benarlah sabda Rasulullah saw, " Sesunguhnya bagi setiap umat itu cabaran dan ujian, dan ujian bagi umatku adalah harta."[HR Tarmizi].
Menurut Yusuf al-Qardawi, godaan harta bukan pada mengumpul dan mendapatkannya melalui cara yang halal dan menjaga kewajipan agama, tetapi adalah dalam kegilaan mendapatkannya, mencarinya dan menyimpannya walaupun daripada jalan yang haram. Ia juga tidak endah untuk membelanjakannya walaupun dengan cara yang haram asalkan berbaloi menurut akalnya, tiada pertimbangan halal dalam hatinya.[2]
Menjadi kewajipan kepada kita untuk memastikan setiap harta yang kita miliki dan perolehi adalah halal dan menepati syariat seperti yang digariskan oleh islam. Tak semestinya pelaburan yang menjanjikan pulangan yang lumayan itu boleh disertai. Selidiki dahulu sejauh mana pelaburan yang bakal disertai itu benar-benar menepati syara' agar keberkatan dari allah sentiasa mengiringi. Apabila sudah sertai dan diketahui pelaburan tersebut meragukan memang sukar untuk kembali.
Pelaburan yang pasti mendatangkan keuntungan.
Kini, memang banyak skim-skim pelaburan yang menjanjikan pulangan yang memberangsangkan. Namun kita sering terlupa akan satu pelaburan yang pasti membawa keuntungan pada masa hadapan ini. Adakah Unit Trust? Mungkinkah ASB 1 Malaysia?Ataupun pelaburan jongkong emas?
Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Apabila seorang manusia mati, putuslah (tulisan pahala) amalan (setakat itu) Kecuali tiga perkara (yang akan berlanjutan tulisan pahalanya) iaitu sedekah jariah atau ilmu memberi kepada yang faedah orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya."(Hadith Sahih - Riwayat Imam Ahmad)
Inilah pelaburan yang menjamin pulangan lumayan berupa pahala yang tak pernah putus-putus selepas kita mati kelak. Satu pelaburan yang menjamin keselamatan kepada kita di alam kekal abadi. Sudah kita merancang strategi dan seterusnya bergiat aktif dalam pelaburan ini? Tepuk dada tanyalah iman dihati.Wallahua'lam.
[1] http://pemikirkaya.com/
[2] Zaharuddin Abd Rahman, Wang, Anda dan Islam, Halal Haram Dalam Kewangan dan Perbankan.
Ketidaksamarataan dalam Pendidikan
5 years ago
No comments:
Post a Comment