Post Satu Malaysia

Dalam senggang masa sebelum final presentation khamis ini, perasan boring mula menyelubungi diri. Tiba-tiba tergerak hati untuk menyelongkar file-file lama yang mengandungi gambar sewaktu praktikal setahun lepas di CSC Steel, Ayer Keroh, Melaka. Memori lama terungkap kembali. Banyak pengalaman dan peristiwa telah dilalui bersama teman-teman satu rumah sewa dan rakan-rakan setempat kerja. Saya rasa bertuah kerana dapat melakukan latihan industri di sebuah syarikat yang terdiri daripada pelbagai bangsa.



Dari kiri, Miss Cheng, Asri, Saiful, Haziq, saya,Fairus, Ah Yu. Gambar ketika hari terakhir praktikal. Otot perut tidak sengaja dibina kerana makan tengah hari disediakan percuma pada setiap hari.

Saya ditempatkan dibawah jabatan penjaminan kualiti (Quality Assuranse Department), secara spesifiknya dibawah unit pembangunan produk dan teknikal (Product and Technical Development section), salah suatu unit yang memainkan peranan yang penting disamping unit pengawasan kualiti (Quality Control section) dibawah jabatan tersebut. Modus operandi unit yang saya khidmat ini lebih kepada melakukan ujian musnah (Destructive Testing) terhadap produk-produk yang diahasilkan sebelum produk-produk ini dilepaskan (release) kepada para pelanggan yang meliputi ujian kekuatan dan kelenturan (Tensile testing), ujian kekerasan(Hardness Testing), 'microstructure observation' dan lain-lain lagi. Syarikat tempat saya praktikal ini menghasilkan produk berupa 'Cold Rolled Steel Coil', 'Galvanised steel coil' dan 'pre painted Galvanised steel coil' yang banyak digunakan dalam industri pembuatan dan juga pembinaan. Latihan industri disini banyak membuka mata dan minda saya berkenaan dengan industri besi dan keluli di Malaysia selain menambahkan pengetahuan berkenaan dengan subjek kejuruteraan bahan dan kejuruteraan pembuatan yang dipelajari di universiti.

Pengalaman berharga

Pengalaman yang paling berharga sewaktu praktikal adalah berinteraksi dengan rakan-rakan dari bangsa-bangsa yang lain. Syarikat tersebut adalah sebuah 'multi-racial company' dimana pekerjanya terdiri daripada pelbagai bangsa iaitu Melayu, Cina, India dan Indonesia. Kepelbagaian bangsa, budaya dan bahasa tidak menghalang kami untuk mengekalkan perasaan saling hormat menghormati antara satu sama lain. Tiada kedengaran isu perkauman yang sengaja dibangkitkan supaya tercetusnya sikap prejudis terhadap bangsa-bangsa yang lain. Sikap sebeginilah yang berjaya mengekalkan keharmonian suasana kerja di CSC Steel.

Sebelum ini jarang saya berinteraksi dengan bangsa-bangsa lain. Saya lebih selesa berada bersama-sama dengan 'klik' sendiri. Jika ada pun adalah semasa membeli top-up dengan amoi di plaza idaman Gombak ataupun sewaktu berurusan dengan mapley dalam meng'order' roti canai banjir di kedai-kedai mamak. Tidak pernah sesekali beriadah, bekerja dan berekreasi bersama-sama. Keadaan tersebut nyata berbeza sewaktu saya praktikal di CSC Steel. Saya berpeluang memahami dan mempelajari kepelbagaian bangsa dan budaya di malaysia tidak terkecuali bangsa Indonesia yang memainkan peranan yang tak kurang penting dalam menggerakkan operasi di syarikat tersebut.

Ketegangan antara kaum

Sebagai warga Malaysia yang cintakan keamanan, peristiwa-peristiwa yang melibatkan masalah perkauman seperti peristiwa berdarah 13 Mei 1969 sepatutnya tidak berlaku lagi. Peristiwa berdarah ini disebabkan oleh rasa tidak puas hati antara dua kaum terbesar di negara ini iaitu kaum Melayu dan Cina. Orang Melayu pada ketika itu tidak berpuas hati dan tercabar atas dominasi dan monopoli orang Cina dalam bidang ekonomi di Malaysia. Manakala orang Cina berasa tidak puas hati atas orang Melayu yang menguasai pentadbiran dan sedikit perasaan dendam atas layanan yang diterima oleh mereka sewaktu pendudukan tentera Jepun ke atas bumi Tanah Melayu suatu ketika dahulu. Peristiwa 13 Mei juga berpunca darpida pelbagai rentetan peristiwa sebelum dan selepas pilihanraya umum pada 10 Mei 1969 yang menyebabkan ketegangan antara 2 kaum tersebut pada ketika itu sehingga menyebabkan darurat dimumkan dan penggubalan dasar-dasar baru oleh kerjaan bagi mengendurkan kembali segala ketegangan yang berlaku. [1]

Dasar Penjajah Inggeris

Peristiwa ini jelas menunjukkan tidak wujudnya keharmonian antara kaum di Malaysia pada ketika itu. Sejarah menunjukkan bahawa dasar Inggeris yang menjalankan pemerintahan secara pecah dan perintah juga menjurus kepada wujudnya permasalahan ini. Orang Melayu dibiarkan tinggal di kampung-kampung dan mengusahakan tanah untuk sektor pertanian yang sudah menjadi kegiatan tradisional bagi mereka sejak turun temurun lagi. Tidak ada sebarang bantuan dan usaha untuk membantu kaum melayu bagi bergiat aktif dalam bidang perniagaan yang sudah pasti menjanjikan peluang yang cerah bagi meningkatkan taraf hidup mereka sekaligus membantu menaikkan martabat ekonomi orang Melayu. Jika ada pun orang Melayu yang tinggal di bandar, mereka lebih selesa berkhidmat dengan jabatan-jabatan kerajaan dengan gaji bulanan yang tetap. Bukan tiada orang-orang Melayu yang mempunyai potensi yang besar untuk menjadi usahawan ataupun mempunyai kemahiran-kemahiran tertentu pada ketika itu. Namun, disebakan dasar-dasar penjajah, peluang orang melayu untuk pergi jauh dilihat tertutup.

Kaum Cina dibawa oleh penjajah Inggeris ke tanah Melayu untuk mengusahakan lombong-lombong bijih timah. Kegiatan ekonomi mereka ini menyebabkan penempatan mereka tertumpu di bandar-bandar besar seperti Ipoh, Kuala Lumpur dan lain-lain. Bandar-bandar tersebut lahir hasil daripada kegiatan mereka tersebut. Kelebihan mereka bukan sekadar mempunyai kemahiran dalam bidang perlombongan bijih timah semata, mereka juga pandai berniaga. Peluang dan 'market' di Tanah Melayu pada ketika itu dimanfaatkan sebaik mungkin sehingga kaum cina terkenal sebagai pemegang kuasa ekonomi utama di Tanah Melayu pada ketika itu. Sementara kaum India diletakkan di estet-estet sebagai buruh-buruh ladang.[2]

Faktor perbezaan demografi dan sosioekonomi pada ketika itu menjadikan tidak wujudnya keharmnian antara kaum-kaum. Jarang interaksi berlaku antara kaum-kaum tersebut akibat perbezaan dua faktor tersebut. Keadaan ini berpanjangan sehingga selepas merdeka. Apabila berlaku peristiwa 13 Mei 1969, kerajaan mula menggubal dasar baru bagi mengatasi permasalahan yang berlaku seperti dasar ekonomi baru, dasar perpaduan negara dan lain-lain.

Mengekalkan Keharmonian

Walaupun tidak banyak perubahan yang berlaku hasil daripada dasar-dasar tersebut yang mana disebabkan faktor seperti ketirisan dan ketidak cekapan pengurusan, namun sedikit sebanyak dapat merubah keadaan setiap bangsa di Malaysia. Namun begitu, bagi mengekalkan keharmonian ini semua warganegara memainkan peranan yang penting.Sikap saling hormat menghormati dan tolong menolong perlu dititik beratkan dalam perhubungan. Sebagai contoh, mungkin orang Melayu masih lemah dalam perniagaan.Dengan kelebihan kaum cina yang mempunyai kemahiran yang tinggi dalam bidang perniaagaan, tiada salahnya bagi mereka untuk membuka peluang-peluang bisnes bagi orang Melayu. Tiada lagi istilah bisnes tertentu adalah untuk kaum tertentu sahaja seperti mana yang berlaku pada sebuah francais perniagaan kopitiam terkemuka di Malaysia yang mana menghalang penglibatan kaum-kaum lain.

Sistem sekolah kebangsaan perlu diperkasakan agar dapat menarik minat semua kaum di Malaysia untuk sama-sama belajar di bawah satu bumbung bagi mewujudkan suasana kebersamaan antara satu sama lain sejak di bangku sekolah lagi. Pengenalan subjek bahasa-bahasa asing seperti bahasa Cina dan Tamil perlu diperluaskan di sekolah-sekolah kebangsaan bagi memupuk semangat perpaduan. Selain itu, bahasa Malaysia perlu di martabatkan kembali bukan sekadar terhad di jabatan-jabatan kerajaan semata, tetapi juga di institusi-institusi pengajian di Malaysia.

Semoga keharmonian ini dapat ditingkatkan dan seterusnya dikekalkan agar dapat menjamin kestabilan negara yang kita cintai ini.

[1] 13 Mei 1969: Sebelum dan Selepas by Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj
[2] The Malay Dilemma by Tun Dr Mahathir Muhammad


No comments: