Dunia Baru

Sudah lama tak update blog ni. Alhamdulillah, tergerak hati nak update balik blog ni. Tak de la berabuk sangat nanti. Sekarang,aku berada di Bangi, sedang menjalani training selama 2 minggu. Induction training untuk staf baru. Hari ni, cukup 2 minggu aku di dunia baru, dunia korporat yang sungguh mencabar.

Sungguh hebat perancangan Allah. Mengatur setiap langkah kehidupanku. Dari lahir, sehingga saat ini, Dialah yang mengaturnya. Perancangan yang dibuat sudah pasti tak dapat mengatasi perancangan-Nya. Dialah yang mengetahui mana yang terbaik buatku. Sebagai hambanya, aku hanya mampu berdoa, pasrah dan berserah kepada-Nya.

Saat pertama kali menerima surat tawaran, tiada apa-apa perasaan menarik muncul dihatiku. Teruja, terkasima, oh, itu jauh sekali. Aku menerimanya dengan redha. Satu amanah harus dipikul, harapan ramai pihak perlu dipenuhi. Semoga diterima sebagai ibadah kepadanya.

Kelegaan itu bukan selamanya. Saban 2 hari berikutnya, kecoh di Facebook rakan-rakan yang diberi tangguh PLKN dipanggil semula. Oh, aku tersedar, aku juga dari kalangan mereka. Aku hanya sempat hadir selama 1 bulan sahaja untuk program PLKN itu kerana ditawarkan untuk belajar di UTP. Adakah aku akan dipanggil semula? Aku diruntun kegusaran buat sekelian kalinya lagi.

Jangkaan aku benar. Nama aku tersenarai sebagai pelatih yang dipanggil semula dari penangguhan. Oh, tidak. Tawaran kerja sudah diterima. Takkan mahu di tolak tawaran tersebut. Pilihan lain yang ada, kenalah tangguh bekerja, hadiri PLKN dahulu. Aku tersepit.

Namun, Allah maha kuasa. Kebetulan selama 3 bulan menunggu tawaran kerja tersebut, aku menyambung pelajaran master di UTP. Atas saranan abah, aku gunakan alasan master untuk tangguh PLKN. Jadi, sekarang aku diberi penangguhan sekali lagi. Aku tenang kembali. 4 tahun lagi, tak tahu lah apa yang bakal berlaku.

Begitulah, hidup ini penuh dengan cabaran, banyak perkara yang tak diduga berlaku. Teruskan impikan yang terbaik. Yakinlah, setiap cabaran itu ada penyelesaiannya. Kita diberi ujian mengikut kemampuan diri kita. Yang penting, kita kena optimis dalam menghadapinya. Samalah dengan aku yang kini berada di dunia baru. Entah apa agaknya yang bakal berlaku di kemudian hari, hanya Allah yang tahu.

Read More !

10 minutes

Video yang amat menarik sebagai muhasabah bersama

Read More !

Ada Hikmah di Sebalik Peristiwa Itu

Dunia kini dikejutkan sekali lagi dengan kezaliman dan keangkuhan kerajaan zionis israel yang terus menerus menunjukkan sifat kebinatangan mereka dalam berhadapan dengan masyarakat dunia berkenaan isu Palestin. Yang terbaru, tindakan mereka menyerang kapal misi bantuan kemanusiaan, Life Line for Gaza(LL4G) telah menunjukkan dengan jelas sikap kebiadapan mereka.

Kira-kira 10 hingga 20 orang telah terbunuh dan berpuluh-puluh lagi telah tercedera. Kalau diikutkan, tidak ada sebab untuk mereka menyerang konvoi LL4G ini, kerana sudah terang lagi bersuluh, barang-barang yang dibawa hanya merupakan keperluan asasi seperti alat tulis, bahan pembinaan, bahan makanan dan lain-lain. Yang menjadi kemusykilannya, serangan dilakukan di perairan antarabangsa dan bukan di perairan negara haram Israel.

Ditambah pula dengan serangan yang dilakukan terhadap orang awam yang tidak bersenjata berbanding tentera zionis israel yang bersenjatakan M-16 berpeluru hidup. Kalau diserang sekalipun, mana logiknya tindakan mereka membalas kembali serangan secara membabi buta sehingga mengakibatkan ramai yang syahid dan cedera. dengan ini jelaslah bahawa merekalah pengganas yang sebenarnya.

Saya sudah hampir 2 minggu mengikuti perkembangan misi konvoi ini melalui siaran Radio IKIM pada jam 10 malam setiap hari kerana secara kebetulan pada waktu itu, saya baru pulang dari mengajar tuition di Seri Iskandar. Misi LL4G ini telah mengumpulkan beberapa NGO di Malaysia dan turut disertai oleh beberapa pertubuhan serata dunia dan tak terkecuali penglibatan beberapa anggota-anggota parlimen yang bermatlamatkan untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Palestin.

Teringat saya akan kata-kata ketua misi dari Malaysia yang merupakan Presiden Haluan Palestin, Tuan Haji Norazaman yang mengatakan selepas pemergian mereka ke Palestin, ada kemungkinan mereka tidak akan pulang kembali ke tanah air. Begitulah semangat pengorbanan saudara kita yang wajar dicontohi bersama akan bertapa pentingnya kita untuk sentiasa mengambil berat akan nasib dan keadaan saudara kita yang kini berada dalam kesengsaraan, menyambung nyawa, dan terus menerus menjadi pembela terhadap tanah suci kita, kiblat pertama umat Muhammad.

Sedar

Kini, dunia kembali membuka mata. Masyarakat mulai sedar tentang kezaliman zionis yahudi laknatullah ini. Yang terbaru Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon telah menggesa Zionis Israel untuk menghentikan sebarang sekatan terhadap bantuan kepada penduduk Palestin yang sudah sekian lama dinafikan hak itu. Namun percayalah, gesaan ini hanyalah retorika semata-mata dan tidak lain bertujuan meredakan kemarahan dunia yang memuncak pada ketika ini. Zionis Yahudi laknatullah ini tidak akan sekali-kali tunduk terhadap arahan PBB ini kerana PBB itu sendiri merupakan badan yang ditubuhkan sebagai salah satu agenda zionisme untuk menjaga kepentingan negara haram zionis Israel.

Kerajaan Malaysia juga tak terkecuali dalam memberi reaksi terhadap isu ini. Menurut berita yang dipaparkan pada hari ini, Perdana Menteri yang kita cintai, Pak Jib akan mengadakan usul tergempar di Parlimen untuk mengutuk sekeras-kerasnya tindakan zionis israel ini. Itu sahajalah yang kita mampu lakukan. Kutuk, kutuk dan terus mengutuk. Agaknya, dengan kutukan ini, Palestin akan merdeka barangkali. Ataupun dengan kutukan ini, Zionis laknatullah ini akan memberi kembali tanah yang dirampas kepada rakyat palestin.

Kata negara islam. Dulukan kita pernah menjadi pengerusi Oooo, I See. Takkan tak boleh nak kumpulkan negara-negara Islam mengenakan tindakan terhadap negara haram Israel ini. Kalau dulu boleh pulak negara-negara islam yang merupakan pengeksport minyak bersatu mengenakan embargo terhadap negara haram Israel dan sekutu-sekutunya sehingga menyebabkan, berlakunya krisis minyak sedunia. Kenapa sekarang tak boleh, sehingga Israel dengan tenang melakukan pembantaian terhadap umat Palestin. Inlah akibatnya apabila kita tak bersatu dan turut bersama-sama menjayakan agenda zionisme mereka ini.

Sampai Bila Al Aqsa Akan Terus Terancam?

Ingatlah saudaraku, isu Palestin ini merupakan isu akidah umat Islam. Mengapa? Ini kerana hal ini berkaitan dengan hal persaudaraan kita dengan saudara seakidah kita yang lain dan juga hak umat islam terhadap masjidil aqsa. Allah berfirman:

“Dan jika mereka meminta pertolongan kepada kamu dalam perkara (menentang musuh untuk membela) ugama, maka wajiblah kamu menolongnya,” Surah Al-Anfal ayat 72.

“Seorang muslim adalah saudara bagi muslim yang lainnya, (dia) tidak menzaliminya dan mengabaikannya(membiarkannya dalam penderitaan, memberikannya kepada musuh), tidak mendustakannya dan tidak menghinanya. Taqwa itu disini (seraya menunjuk dadanya sebanyak tiga kali-). Cukuplah seorang muslim dikatakan buruk jika dia menghina saudaranya yang muslim(apatah lagi menzaliminya, mengabaikannya dan mendustakannya)” Hadith yang ke-35 dalam Hadith 40 An-Nawawi. Hadith riwayat Muslim.

Saudara kita di sana terus menderita dalam mempertahankan bumi Al-Quds. Mereka bersendirian, tanpa bantuan masyarakat luar. Hatta, negara jiran mereka tak mampu berbuat apa-apa. Lihat sahaja Mesir, jiran yang paling hampir, sehingga tergamak menutup sempadan dengan Palestin akibat tekanan zionisme Israel. Alhamdulillah, hari ini berikutan serangan terhadap konvoi kemanusiaan LL4G, mereka kembali membuka sempadan tersebut tetapi tidak tahu sampai bila sempadan ini akan dibuka.

Al Quds yang Sebenarnya

Ada orang bertanya kepada saya, kenapa zionis laknatullah ini begitu beriya-iya mahukan negara palestin. Mereka begitu mahukan palestin kerana mahu menjayakan agenda utama zionisme mereka untuk merampas kota suci Al Quds. Mereka mahu menggantikan Al Quds menjadi Kuil Haikal Sulaiman, tempat ibadah buat mereka. Perancangan mereka begitu teratur, bermula dengan merampas tanah-tanah di sekitarnya hingga kini melemahkan struktur binaan al quds itu sendiri. Tanpa pembelaan, al Quds kini tunggu masa sahaja untuk dirobohkan.

Ramai yang keliru di mana Al Quds atau masjid al Aqsa sebenarnya. Yang lebih menyedihkan ada yang tidak tahu Al Aqsa itu apa sebenarnya. Ada yang mengatakan Kubah Batu itu (Dome of the Rock) itu sebagai masjid al aqsa, dan tak kurang juga yang mengatakan masjid Qibti, masjid yang berkubah kelabu itu sebagai masjid al Aqsa.

Saya berkesempatan menghadiri konvensyen menyelamatkan Al aqsa (KOSMAZ) 2 minggu lepas. Menurut salah seorang panel pembentang kertas kerja, Dr Abdullah Marof, seeorang warga Palestin yang kini menjadi pensyarah tamu di UM, beliau mengatakan bahawa kawasan Masjid Al Aqsa itu merangkumi 200 monumen termasuk Masjid Kubah Batu (Dome of the Rock) dan Masjid Qibti. Kawasan Masjid al-Aqsa sebenarnya merangkumi keluasan 144 000 meterpersegi.

Kawasan Al aqsa yang sebenar


Sejak tahun 1970-an lagi. terowong telah dibina oleh zionis yahudi di bawah tembok yang memagari kawasan masjid al aqsa, dan tempat ibadah yahudi telah dibina di setiap penjuru bawah masjid al aqsa sehingga melemahkan struktur masjid al aqsa itu sendiri. Perancangan mereka sudah lama dan begitu tersusun. Mereka begitu mahukan kawasan al aqsa ini dan akan berusaha sedaya upaya mereka. Kalau kita tak bersatu dalam menangani isu ini, percayalah suatu hari nanti kita akan kecewa melihat al aqsa jatuh ke tangan yahudi laknatullah. Yakinlah seberapa hebat sekalipun perancangan mereka, namun mereka tidak akan mampu mengatasi perancangan Allah yang maha hebat.

Wahai saudaraku, cukuplah kita membiarkan saudara kita, warga Palestin untuk terus menderita. Berusahalah untuk membantu mereka. Tunjukkan rasa ambil berat kita terhadap isu ini. Jangan lupakan mereka dalam doa kita. Lakukan boikot terhadap produk Israel semampunya. Berikan sumbangan berupa kewangan kepada mereka. Kalau bukan kita yang menolong mereka, siapakah lagi?




Read More !

Bahagia Itu Perlu di Raih

"Abang Syah, Cikgu Roslina tunggu abang kat bilik komputer, berkenaan dengan permohonan biasiswa PETRONAS petang tadi katanya", bisik seorang junior saya sebaik sahaja saya habis mengimamkan solat isyak secara berjemaah.

"Eh, betul ke ni? Tak silap abang, permohonan tu dah ditutup pukul 5 petang tadi" balas saya.

"Macam ni bang, Cikgu Roslina ada kenalan yang bekerja dengan Unit Penganjuran Pendidikan Petronas. Cikgu minta untuk dilanjutkan tempoh permohonan tu", balasnya kembali.

"Alhamdulillah, syukur, masih ada peluang" bisik hati kecil saya.

Pada waktu itu, bulan Ramadhan. Kami, pelajar-pelajar tingkatan 5 baru sahaja menduduki peperiksaan percubaan SPM. Aura bulan Ramadhan tahun itu memberi kami semangat untuk terus berjuang mentelaah pelajaran sebelum pentempuran sebenar bermula lebih kurang 1 bulan berikutnya.

Pada waktu itu juga, PETRONAS membuka tawaran tajaan biasiswanya kepada pelajar-pelajar lepasan SPM untuk melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah di universiti-universiti tempatan dan luar negara dengan menggunakan keputusan peperiksaan percubaan. Tidak semua yang layak. Hanya mereka yang tergolong dalam top 40 dalam ujian percubaan sahaja dibenarkan untuk memohon. Alhamdulillah saya tergolong dalam lingkungan tersebut. Namun, disebabkan ranking saya agak terkebelakang, maka giliran saya untuk mengisi borang secara talian tersebut juga terkebelakang.

Pada petang hari tersebut, keadaan bilik komputer kecoh sekali. Maklumlah pengalaman pertama mengisi permohonan biasiswa. Perasaan teruja dan gelisah bercampur baur pada diri kami. Komputer yang digunakan pula hanya 3 buah. Jam hampir menunjukkan pukul 5 petang. Bilangan mereka yang masih belum mengisi borang secara talian masih ramai.

Saya dan beberapa rakan yang lain mengambil keputusan untuk pulang. Insyaallah, nanti saya akan memohon kembali apabila keputusan sebenar SPM keluar. Namun, keajaiban berlaku pada malam tersebut. Saya masih sempat untuk memohon. Allah maha kaya!

Dipendekkan cerita, 13 orang antara kami yang memohon telah disenarai pendek untuk menghadiri EduCamp, satu program pendedahan yang menekankan aspek softkill yang bakal dipraktikkan semasa temuduga nanti. Alhamdulillah, 5 orang telah terpilih menerima tajaan PETRONAS untuk belajar di UTP dan saya adalah salah seorang daripadanya!

Saya yakin semua ini adalah satu anugerah dan rezeki dari Allah. Pengalaman ini begitu membahagiakan saya. Saya tak perlu lagi memikirkan tempat untuk belajar selepas mendapat keputusan sebenar kerana saya telah memulakan pengajian ijazah sebelum keputusan SPM diumumkan. kalau nak difirkan, keputusan percubaan SPM saya biasa-biasa sahaja dan penglibatan kokurikulum saya tidaklah sehebat rakan-rakan yang lain.

Kini, sudah lebih 5 tahun perisitiwa itu berlalu. Saya pun sudah menamatkan pengajian ijazah saya dan kini sedang menyambung pengajian pasca ijazah saya di universiti yang sama. Insyaallah, kalau diizinkan, ingin saya membalas kembali jasa penaja saya yang telah melaburkan lebih RM 100 000 untuk kos pengajian dan elaun-elaun lain

Perihal Bahagia.

Fitrah setiap insan inginkan kebahagiaan. Setiap orang meletakkan kebahagiaan sebagai matlamat kehidupan. Namun kebahagiaan itu adalah perkara subjektif untuk dibincangkan. Setiap orang memiliki persepsi tersendiri berkenaannya.

Ada manusia menjadikan harta sebagai pentunjuk aras bahagia. Ada juga manusia berasa bahagia apabila memiliki pangkat dan kuasa. Tak kurang juga mereka yang merasakan bahagia itu adalah dengan memiliki kestabilan keluarga dan kerjaya.

Ingin saya berkongsi satu kisah. Sewaktu dalam keretapi, semasa dalam perjalanan pulang ke bumi Tronoh ini, saya ditakdirkan untuk duduk bersebelahan dengan seorang pemuda cina. Seingat saya, dia memperkenalkan dirinya sebagai Ah Yatt. Pada mulanya saya berasa kekok untuk berbual dengannya. Gayanya seperti mahu berpindah rumah. Dengan beg pack yang besar beserta dengan beberapa bungkusan barangan yang lain, sudah cukup menggambarkan dia seorang lelaki yang pelik.

Saya memberanikan diri juga untuk berbual dengannya. Senyuman diberi, salam dihulurkan. Jangkaan saya meleset sama sekali. Ah Yatt merupakan seorang peramah. Dia merupakan seorang penggemar hiking. Hampir semua gunung di Malaysia sudah ditawannya. Sebut sahaja nama apa-apa gunung, dia boleh bercerita dengan panjang lebar. Saya melayan cerita Ah Yatt berkenaan pengalaman-pengalamannya yang telah ditempuhinya.

Menurut Ah Yatt, keesokan harinya dia akan memeriksa laluan hiking yang bakal dilalui oleh kelabnya pada minggu seterusya yang mana bermula dari Ulu Kinta, Perak dan berakhir di sempadan Perak, Kelantan. Pemeriksaan trek itu dilakukan sendirian! Saya bertanya Ah Yatt, apa yang menyebabkan dia begitu obses dengan hobinya itu. Maklumlah, Ah Yatt sudah mempunyai kerjaya yang hebat, seorang konsultan di sebuah firma kejuruteraan dan masih belum berkeluarga. Baik masa dan wangnya digunakan untuk merancang masa depannya.

"Saya menemukan ketenangan dan kebahagiaan daripadanya" Jawab Ah Yatt ringkas.

Punca Kebahagiaan

Dari mana asal kebahagiaan itu? Adakah berpunca dari luar ke dalam (outside-in) atau dari dalam ke luar (inside-out)? Realiti sekarang, masyarakat merasakan bahagia itu bersumber dari faktor luaran. Memiliki harta yang banyak, pangkat yang tinggi, rupa yang menawan, memiliki isteri dan suami yang rupawan atau kelulusan yang tinggi merupakan antara penyebab yang difikirkan mampu memberi kebahagiaan kepada diri.

Atas sebab itulah, manusia akan sentiasa berusaha sedaya upaya untuk memiliki faktor luaran tersebut dan lebih malang lagi apabila ada yang sanggup untuk mencapainya dalam apa-apa keadaan sekalipun baik dari jalan yang dilarang. Saban hari, masalah-masalah yang berlaku dalam masyarakat seperti kes rasuah,seks luar nikah, mencuri, pembuangan bayi sering berlaku akibat persepsi negatif ini.

Antara Hati dan Nafsu

Kehendak dan keinginan timbul kerana manusia dianugerahkan Allah dengan nafsu. Dengan nafsu kita tidur, makan, berhibur dan sebagainya lagi. Dengan nafsu, kita boleh survive di muka bumi Allah ini. Namun, adakah dengan memenuhi keinginan nafsu ini kita boleh bahagia? Satu analogi mudah, jika kita suka makan ulam cicah budu cap ketereh, adakah dengan makan budu cap ketereh itu sebanyak lima pinggan, kita akan bahagia? Dengan memenuhi keinginan nafsu, kita akan berasa puas seketika, namun jika terus dilayan akan membawa kepada kemudaratan dan keluh kesah. Hal ini Allah ceritakan dalam surah yusuf, ayat ke 53.

"Dan aku tidak (menyatakan) diriku bebas (dari kesalahan), kerana sesungguhnya nafsu manusia itu selalu mendorong kepada kejahatan, kecuali (nafsu) yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang."

Allah juga menciptakan hati yang merupakan tempat letaknya roh.[1] Hati dan ruh merupakan penghubung antara manusia dan Allah. Dengannya manusia dapat mengenal Allah dan segala sifat kesempurnaan-Nya. [2] Kebahagiaan itu ialah memiliki hati yang tenang dalam menghadapi apa jua ujian dalam kehidupan. Inilah erti bahagia yang sebenar selaras petunjuk Allah di dalam Al Quran. Firman Allah:

“Ketahuilah dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang.” Al Ra’du 28.

Rasulullah S.A.W. juga telah bersabda:

” Bahawasanya di dalam tubuh badan manusia ada seketul daging. Apabila ia baik, baik pulalah seluruh badan, tetapi apabila ia rosak maka rosak pulalah seluruh badan. Ingatlah ia adalah hati. ” (riwayat Bukhari Muslim)

Rasulullah S.A.W bersabda lagi:

” Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta benda tetapi kekayaan itu sebenarnya ialah kaya hati “

Kaya hati bermaksud hati yang tenang, lapang dan merasa cukup dengan apa yang dimiliki, bersyukur dengan apa yang ada, sabar dengan apa yang tiada.[3]

Oleh itu hati perlu dibersihkan serta dipulihara dan dipelihara “kesihatannya” agar lahir sifat-sifat mahmumah seperti amanah, sabar, syukur, qanaah, reda, pemaaf dan sebagainya. Kemuncak kebahagiaan ialah apabila hati seseorang mampu mendorong pemiliknya melakukan kebaikan dan menghindari kejahatan dan larangan yang ditentukan oleh Islam dengan mudah.[3]


[1] Keajaiban hati manusia,http://halaqah.net/v10/index.php?page=253, 6 May 2010
[2] Ustaz Abdullah Zaik, Jiwa Tenang, http://www.youtube.com/watch?v=J9wtnmDgQYc&feature=player_embedded, 6 May 2010
[3] Inilah makna bahagia, http://genta-rasa.com/inilah-makna-bahagia/, 6 May 2010

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

KAEDAH MENCARI BAHAGIA MENURUT AL QURAN DAN AS SUNAH:

sumber: http://genta-rasa.com/inilah-makna-bahagia/

1. Beriman dan beramal salih.

“Siapa yang beramal salih baik laki-laki ataupun perempuan dalam keadaan ia beriman, maka Kami akan memberikan kepadanya kehidupan yang baik dan Kami akan membalas mereka dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang mereka amalkan.” (An-Nahl: 97)
Ibnu ‘Abbas RA meriwayatkan bahawa sekelompok ulama mentafsirkan bahawa kehidupan yang baik (dalam ayat ini) ialah rezeki yang halal dan baik (halalan tayyiban). Sayidina Ali pula mentafsirkannya dengan sifat qana’ah (merasa cukup). Ali bin Abi Thalhah dari Ibnu ‘Abbas, meriwayatkan bahawa kehidupan yang baik itu adalah kebahagiaan.

2. Banyak mengingat Allah .

Dengan berzikir kita akan mendapat kelapangan dan ketenangan sekali gus bebas daripada rasa gelisah dan gundah gulana. Firman Allah:
“Ketahuilah dengan mengingat (berzikir) kepada Allah akan tenang hati itu.” (Ar-Ra’d: 28)

3. Bersandar kepada Allah.

Dengan cara ini seorang hamba akan memiliki kekuatan jiwa dan tidak mudah putus asa dan kecewa. Allah berfirman:
“Siapa yang bertawakal kepada Allah maka Allah akan mencukupinya.” (Ath-Thalaq: 3)

4. Sentiasa mencari peluang berbuat baik.

Berbuat baik kepada makhluk dalam bentuk ucapan mahupun perbuatan dengan ikhlas dan mengharapkan pahala daripada Allah akan memberi ketenangan hati.
Firman-Nya:
“Tidak ada kebaikan dalam kebanyakan bisikan-bisikan mereka kecuali bisikan-bisikan dari orang yang menyuruh ( manusia) untuk bersedekah atau berbuat kebaikan dan ketaatan atau memperbaiki hubungan di antara manusia. Barang siapa melakukan hal itu karena mengharapkan keredaan Allah, nescaya kelak Kami akan berikan padanya pahala yang besar.” (An-Nisa: 114)

5. Tidak panjang angan-angan tentang masa depan dan tidak meratapi masa silam.

Fikir tetapi jangan khuatir. Jangan banyak berangan-angan terhadap masa depan yang belum pasti. Ini akan menimbulkan rasa gelisah oleh kesukaran yang belum tentu datang. Juga tidak terus meratapi kegagalan dan kepahitan masa lalu karena apa yang telah berlalu tidak mungkin dapat dikembalikan semula. Rasulullah SAW bersabda: “Bersemangatlah untuk memperoleh apa yang bermanfaat bagi mu dan minta tolonglah kepada Allah dan janganlah lemah. Bila menimpa mu sesuatu (dari perkara yang tidak disukai) janganlah engkau berkata: “Seandainya aku melakukan ini nescaya akan begini dan begitu,” akan tetapi katakanlah: “Allah telah menetapkan dan apa yang Dia inginkan Dia akan lakukan,” karena sesungguhnya kalimat ‘seandainya’ itu membuka amalan syaitan.” (HR. Muslim)

6. Melihat “kelebihan” bukan kekurangan diri.

Lihatlah orang yang di bawah dari segi kehidupan dunia, misalnya dalam kurniaan rezeki karena dengan begitu kita tidak akan meremehkan nikmat Allah yang diberikan Allah kepada kita. Rasulullah SAW bersabda:
“Lihatlah orang yang di bawah kamu dan jangan melihat orang yang di atas kamu karena dengan (melihat ke bawah) lebih pantas untuk kamu tidak meremehkan nikmat Allah yang dilimpahkan-Nya kepada kamu.” (HR. Al-Bukhari dan Muslim)

7. Jangan mengharapkan ucapan terima kasih manusia.

Ketika melakukan sesuatu kebaikan, jangan mengharapkan ucapan terima kasih ataupun balasan manusia. Berharaplah hanya kepada Allah. Kata bijak pandai, jangan mengharapkan ucapan terima kasih kerana umumnya manusia tidak pandai berterima kasih. Malah ada di antara hukama berkata, “sekiranya kita mengharapkan ucapan terima kasih daripada manusia nescaya kita akan menjadi orang yang sakit jiwa!”. Firman Allah:
“Kami memberi makan kepada kalian hanyalah karena mengharap wajah Allah, kami tidak menginginkan dari kalian balasan dan tidak pula ucapan terima kasih.” (Al Insan: 9)




Read More !

Matlamat Jangka Pendek

Kenangan sewaktu hujung minggu baru-baru ini begitu bermakna sekali. Alhamdulillah diberi kesempatan oleh Allah untuk menghadiri program daurah fiqh, satu program ilmiah dan diselangi dengan beberapa aktiviti santai.

Bermula dengan pengisian fiqh solat oleh Ustaz Aqib seterusnya aktiviti riadah bersama ikhwah UTP. Pada malamnya, kami juga turut serta dalam memeriahkan konsert islamik tahunan di UTP, Kembara Sufi. Keesokannya, qiam bersama ikwah Akademi Ikatan Muslimin (AIM)dan diakhiri dengan riadah bersama ustaz-ustaz dan ikhwah-ikhwah sekitar Perak.

Dalam slot taaruf sebelum berakhirnya program tersebut, moderator meminta kami memperkenalkan serba sedikit tentang diri masing-masing. Antara perkara yang diminta untuk disampaikan adalah berkenaan dengan matlamat pendek masing-masing. Maka, pelbagai jawapanlah yang keluar dari kalangan kami.

Disebabkan kebanyakan ikhwah yang hadir adalah pelajar-pelajar Sijil Agama Tinggi Malaysia (STAM), kebanyakan jawapan adalah untuk Mumtaz dalam STAM seterusnya dapat melanjutkan pelajaran di Universiti Al-Azhar atau universiti di timur tengah yang lain. Disebabkan saya baru sahaja grad beberapa bulan yang lalu, jawapan saya untuk permasalahan matlamat jangka pendek ini adalah untuk nikah dan disambut dengan hilai tawa semua orang. Saya serius,bukan buat lawak. Tegas saya ketika itu.

Namun ditengah-tengah keriangan kami mendengar jawapan-jawapan lucu yang diberikan, tiba giliran seorang ustaz. "Mati!" jawab ustaz itu ringkas. Kemudian, tiba pula giliran seorang ikhwah AIM. "Mencipta sebaik-baik kematian." Begitulah mendalam sekali jawapan mereka. Inilah realiti yang perlu kita fikirkan.
Kematian adalah sesuatu yang pasti. Semua makhluk ciptaan Allah pasti akan merasainya. Malaikat maut sendiripun akan menghadapinya walaupun skop tugasnya adalah untuk mencabut nyawa manusia. Firman Allah,

Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kemudian hanyalah kepada Kami kamu dikembalikan.(Al-ankabut, 29:57)

Kita tidak pernah sama sekali dapat menduga bila waktu kematian kita. Tiada manusia yang dapat memastikan adalah dia dapat mencelikkan matanya untuk keesokan harinya. Apa yang mampu kita lakukan adalah untuk bersedia untuk saat kematian yang pasti menjelma.

Sesungguhnya, orang yang bijak itu akan sentiasa mengingati saat kematiannya. Mengapa dikatakan bijak akan orang yang sentiasa mengingati mati? Ini kerana, mereka yang sentiasa mengingati mati ini, akan sentiasa berhati-hati dalam melaksanakan urusan kedunianya. Mereka tidak mahu dengan sedikit kelalaian dan keingkaran yang dilakukan di dunia bakal mengakibatkan mereka terpaksa menunggu masa yang lama untuk mendapatkan kenikmatan yang dijanjikan Allah di syurga nanti. Setiap masa mereka akan dperhati dan dievaluasi agar sentiasa berada dalam ketaatan kepada Allah.

Satu analogi mudah. Di dalam satu sektor pengeluaran, seorang jurutera proses akan memastikan setiap parameter dan kondisi dalam mengeluarkan sesuatu produk dipatuhi dengan teliti agar produk akhirnya bebas dari segala kecacatan yang bakal mempengaruhi keuntungan serta penerimaan di dalam pasaran. Bolehlah kita katakan produk itu sebagai diri kita, dan parameter serta kondisi pengeluaran itu sebagai segala syariat dan peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah. Namun begitu, tiada siapa yang dapat mengawal proses ini melainkan diri kita sendiri.

Kita juga tidak tahu bagaimanakah keadaan sewaktu kita mati nanti, Adakah kita mati dalam ketaatan atau dalam keaadan bermaksiat kepada Allah. Sama-samalah kita bermohon agar dikekalkan dalam ketaatan agar dikurniakan dengan sebaik-baik mati agar roh kita berada dalam keadaan tenang apabila menghadap Allah kelak.

******Bila Malaikat Mencabut Nyawa******

http://www.pekanrabu.com/zubir/mati.html

Baginda Rasullullah S.A.W bersabda:
"Apabila telah sampai ajal seseorang itu maka akan masuklah satu kumpulan malaikat ke dalam lubang-lubang kecil dalam badan dan kemudian mereka menarik rohnya melalui kedua-dua telapak kakinya sehingga sampai kelutut. Setelah itu datang pula sekumpulan malaikat yang lain masuk menarik roh dari lutut hingga sampai ke perut dan kemudiannya mereka keluar. Datang lagi satu kumpulan malaikat yang lain masuk dan menarik rohnya dari perut hingga sampai ke dada dan kemudiannya mereka keluar. Dan akhir sekali datang lagi satu kumpulan malaikat masuk dan menarik roh dari dadanya hingga sampai ke kerongkong dan itulah yang dikatakan saat nazak orang itu."

Sambung Rasullullah S.A.W. lagi:
"Kalau orang yang nazak itu orang yang beriman, maka malaikat Jibrail A.S. akan menebarkan sayapnya yang disebelah kanan sehingga orang yang nazak itu dapat melihat kedudukannya di syurga. Apabila orang yang beriman itu melihat syurga, maka dia akan lupa kepada orang yang berada disekelilinginya. Ini adalah kerana sangat rindunya pada syurga dan melihat terus pandangannya kepada sayap Jibrail A.S."

Kalau orang yang nazak itu orang munafik, maka Jibrail A.S. akan menebarkan sayap disebelah kiri. Maka orang yang nazak tu dapat melihat kedudukannya di neraka dan dalam masa itu orang itu tidak lagi melihat orang disekelilinginya. Ini adalah kerana terlalu takutnya apabila melihat neraka yang akan menjadi tempat tinggalnya.

Dari sebuah hadis bahawa apabila Allah S.W.T. menghendaki seorang mukmin itu dicabut nyawanya maka datanglah malaikat maut.Apabila malaikat maut hendak mencabut roh orang mukmin itu dari arah mulut maka keluarlah zikir dari mulut orang mukmin itu dengan berkata:

"Tidak ada jalan bagimu mencabut roh orang ini melalui jalan ini kerana orang ini sentiasa menjadikan lidahnya berzikir kepada Allah S.W.T." Setelah malaikat maut mendengar penjelasan itu, maka dia pun kembali kepada Allah S.W.T. dan menjelaskan apa yang diucapkan oleh lidah orang mukmin itu. Lalu
Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud:

"Wahai malaikat maut, kamu cabutlah ruhnya dari arah lain." Sebaik saja malaikat maut mendapat perintah Allah S.W.T. maka malaikat maut pun cuba mencabut roh orang mukmin dari arah tangan. Tapi keluarlah sedekah dari arah tangan orang mukmin itu, keluarlah usapan kepala anak-anak yatim dan keluar penulisan ilmu. Maka berkata tangan: Tidak ada jalan bagimu untuk mencabut roh orang mukmin dari arah ini, tangan ini telah mengeluarkan sedekah, tangan ini mengusap kepala anak-anak yatim dan tangan ini menulis ilmu pengetahuan."

Oleh kerana malaikat maut gagal untuk mencabut roh orang mukmin dari arah tangan maka malaikat maut cuba pula dari arah kaki. Malangnya malaikat maut juga gagal melakukan sebab kaki berkata:

"Tidak ada jalan bagimu dari arah ini kerana kaki ini sentiasa berjalan berulang alik mengerjakan solat dengan berjemaah dan kaki ini juga berjalan menghadiri majlis-majlis ilmu."

Apabila gagal malaikat maut, mencabut roh orang mukmin dari arah kaki, maka malaikat maut cuba pula dari arah telinga. Sebaik saja malaikat maut menghampiri telinga maka telinga pun berkata:

"Tidak ada jalan bagimu dari arah ini kerana telinga ini sentiasa mendengar bacaan Al-Quran dan zikir." Akhir sekali malaikat maut cuba mencabut orang mukmin dari arah mata tetapi baru saja hendak menghampiri mata maka berkata mata:

"Tidak ada jalan bagimu dari arah ini sebab mata ini sentiasa melihat beberapa mushaf dan kitab-kitab dan mata ini sentiasa menangis kerana takutkan Allah." Setelah gagal maka malaikat maut kembali kepada Allah S.W.T. Kemudian Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud: "Wahai malaikatKu, tulis AsmaKu ditelapak tanganmu dan tunjukkan kepada roh orang yang beriman itu." Sebaik saja mendapat perintah Allah S.W.T. maka malaikat maut menghampiri roh orang itu dan menunjukkan Asma Allah S.W.T.

Sebaik saja melihat Asma Allah dan cintanya kepada Allah S.W.T maka keluarlah roh tersebut dari arah mulut dengan tenang.

Abu Bakar R.A. telah ditanya tentang kemana roh pergi setelah ia keluar dari jasad. Maka berkata Abu Bakar R.A:"Roh itu menuju ketujuh tempat:-

1. Roh para Nabi dan utusan menuju ke Syurga Adnin.
2. Roh para ulama menuju ke Syurga Firdaus.
3. Roh mereka yang berbahagia menuju ke Syurga Illiyyina.
4. Roh para shuhada berterbangan seperti burung di syurga mengikut kehendak mereka.
5. Roh para mukmin yang berdosa akan tergantung di udara tidak di bumi dan tidak di langit sampai hari kiamat.
6. Roh anak-anak orang yang beriman akan berada di gunung dari minyak misik.
7. Roh orang-orang kafir akan berada dalam neraka Sijjin, mereka diseksa berserta jasadnya sampai hari Kiamat."

Telah bersabda Rasullullah S.A.W: Tiga kelompok manusia yang akan dijabat tangannya oleh para malaikat pada hari mereka keluar dari kuburnya:-

1. Orang-orang yang mati syahid.
2. Orang-orang yang mengerjakan solat malam dalam bulan ramadhan.
3. Orang berpuasa di hari Arafah.

Sekian untuk ingatan kita bersama.



Read More !

Bila Waktu Sukar

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang..

Firman Allah S.W.T di dlm surah Ar-Rahman,ayat 29:

Semua yang ada di langit dan di bumi selalu memohon kepadaNya. Setiap waktu ia berada dalam aktivitiNya.

Apabila laut bergelombang,ombak bergelora,dan angin bertiup kencang,semua penumpang kapal akan berteriak :"Ya Allah!"

Apabila seseorang tersesat di tengah padang pasir,kenderaan menyimpang jauh dari laluannya,dan para kafilah merasa kebingungan menentukan arah perjalanannya,mereka akan berseru :"Ya Allah!"
Apabila tertimpanya musibah,bencana melanda,dan berlakunya tragedi,mereka akan menyebut :"Ya Allah!"

Apabila pintu ditutup di hadapan pencari kerja dan tirai-tirai ditutup di depan orang yang meminta,mereka akan berseru :"Ya Allah!"

Apabila berbagai usaha tidak mampu menyelesaikan,setiap jalan terasa terhimpit,harapan terhenti,dan semua jalan pintas telah buntu,mereka akan menyeru :"Ya Allah!"

Apabila dunia terasa sempit disebabkan himpitan persoalan hidup dan jiwa terasa seolah tertekan oleh bebanan kehidupan yang harus dipikul,mereka akan menyeru :"Ya Allah!"

Telah kukhabarkan kepadaMu
segala hal seperti cercaan.
Pekat dan wajah waktu lebih gelap berdebu.
Lalu kupanggil jelas namaMu
di waktu Subuh menanti dan setiap fajar menyinsing
selalu terdengar namaMu terucap.

Hanya kepadaNya sahaja yang layak dipanjatkan kalimah-kalimah yang indah,doa yang ikhlas,bisikan yang jujur,air mata yang menitis penuh keikhlasan dan keinsafan,dan ratapan derita yang membingungkan.

Hanya kepadaNya kedua telapak tangan dihulurkan setiap kali menjelang Subuh,iaitu tangan-tangan orang yang memerlukan pertolonganNya,dan tatapan mata hamba yang penuh harapan,dan segudang benak yang bertanya tentang banyak peristiwa.

Ketika lidah bersenandung menyebut namaNya,memohon,mengharap dan memanggil. Dengan menyebutNya,di mana hari akan menjadi damai,jiwa akan terasa tenang,perasaan menjadi tenteram,saraf tidak lagi menegang,aqal menjadi sejuk dan keyakinan menjadi mantap.

Allah,sebaik-baik nama,susunan huruf yang paling indah,ungkapan yang paling tulus,dan kata yang paling bernilai. BagiNya segala kekayaan dan keabadian,kekuasaan dan kekuatan,keagungan,kemampuan dan kebijaksanaan. BagiNya kebijaksanaan,pertolongan,keringanan,bantuan,cinta,dan kebaikan. Sang Pemilik segala keagungan,kewibawaan dan keperkasaan.

Sekalipun kulukiskan keagunganMu
dalam goresan
sebagai tanda kesucian yang mempererat jiwa
Engkau tetap Yang Teragung
dan tempat segala yang bermakna.
Ya Tuhan,hanya pada keagunganMu
segalanya terasa lapang.

Ya Allah,gantikanlah penderitaan ini dengan kesenangan,balasan kesedihan sebagai hal yang menggembirakan,dan hilangkanlah perasaan takut ini kepada ketenteraman.

Ya Allah,sejukkan gelora hati dengan salji keyakinan,dan padamkan gelojak api jiwa dengan air keimanan.

Ya Allah,berikan rasa mengantuk sebagai kenyamanan bagi mata yang tidak dapat pejam.

Berikan rasa damai bagi jiwa-jiwa yang resah ini suatu kedamaian,dan berikanlah dengan kemenangan yang nyata.

Ya Allah,tunjukkanlah penglihatan ini menuju cahayaMu,bimbinglah kesesatan ini ke arah jalanMu,dan bimbinglah orang yang tergelincir menuju petunjukMu.

Ya Allah,lenyapkan segala keraguan dengan cahata mentari di ufuk timur.Hancurkan segala kebatilan yang bersarang di dalam perasaan dengan secerah sinar kebenaran.Hapuskan segala tipu daya syaitan dengan pertolongan bala tenteraMu.

Sumber: La Tahzan ,
Aaidh ibn Abdullah al-Qarni

Muat turun lagu best

New Sakha-Jangan Ragu Pada Nya

Read More !

Transit Aliran Ringan (LRT)

Alhamdulillah selamat jua sampai di bumi Tronoh ini. Tiga hari lepas, saya pulang ke KL, menziarahi keluarga dan menghadiri meeting untuk program motivasi STEP(Step toward excellence program)yang bakal diadakan pada bulan Jun nanti. Sudah menjadi kemestian, jikalau pulang ke KL, perkhidmatan shuttle KTM menjadi pilihan. Perkhidmatannya sangat memuaskan. Disamping harga tiket yang sangat berpatutan, waktu pelepasan tren juga mengikut waktu yang dijadualkan.

Sampai sahaja di Kuala Lumpur, saya beralih pula kepada perkhidmatan transit aliran ringan (LRT) yang menghubungkan saya dengan tempat-tempat pilihan di kota raya metropolitan ini. Mengikut pengamatan kasar saya, sudah banyak proses penambahbaikan yang telah dilakukan terhadap perkidmatan LRT di KL. Bilangan unit LRT sudah ditambah terutamanya pada waktu-waktu puncak bagi menampung penambahan penumpang yang kian meningkat terutamanya di lokasi-lokasi tumpuan seperti di Masjid Jamek dan KLCC.

Namun demikian ada satu hal juga yang agak menggelisahkan hati ramai orang ramai. Perkara ini sering berlaku pada waktu-waktu puncak.

Penumpang berasak-asak untuk mendapatkan ruang di dalam gerabak LRT!

Bukan kerana bimbang koc LRT tak mampu menampung beban penumpang sehingga boleh menyebabkan LRT bakal terlibat dengan kemalangan seperti yang sering berlaku di India.



Hal ini mustahil akan berlaku kerana jurutera yang bertanggungjawab membina koc LRT ini sudah memastikan setiap tren mematuhi spesifikasi yang diperlukan bagi menampung penumpang semaksimum mungkin. Namun apa yang dibimbangkan adalah situasi tolak menolak, tersentuh sana sini bagi mendapat tempat sekangkang kera di dalam tren tersebut.

Sudah pasti perkara ini menjadi suatu pengalaman ngeri bagi mereka yang pertama kali menaiki perkhidmatan LRT. Bagi yang sudah biasa, mereka terpaksa pejamkan mata dan melaluinya tanpa rela. Realiti ini kadang kala menjadi trauma terhadap para penumpang terutama golongan wanita, golongan warga tua dan kanak-kanak. Kaum wanita sering kali dirundung keresahan akibat terdedah dengan gangguan seksual. Kasihan juga melihat nenek yang sudah dimamah usia berhempas pulas dalam mengekalkan posisi stabil di dalam tren. Mungkin turun sahaja dari tren, nenek tua ini terus menukar haluan ke HKL bagi mendapatkan ubat sakit tulang belakang.

Pendekatan bijak

Saya begitu bersetuju apabila timbul idea bernas mahu menyediakan koc berasingan bagi kalangan lelaki dan wanita serta koc khas bagi mereka yang berkeluarga dan warga emas. Cadangan amat bernas ini sudah lama dilaksanakan di negara Jepun dan beberapa negara Eropah. Sudah pasti negara kita yang sering diwar-warkan sebagai negara Islam contoh patutnya sudah lama mengimplimentasikan sistem ini. Saya percaya ramai yang akan menyokong idea ini. Jika adapun yang menentang, mungkin dari kalangan Islam liberal, Sistem in Islam ataupun dari kalangan pasangan couple tegar yang sukar berpisah walaupun sesaat. Perlu diingatkan idea ini bukanlah untuk mendikrimasikan golongan tertentu tetapi adalah untuk menjamin keselesaan setiap penumpang.

Jika idea ini dilaksanakan, sudah pasti, keselesaan penumpang akan terjamin. Izzah atau kehormatan wanita akan terus terpelihara. Pandangan mata dapat terjaga, almaklumlah antara dugaan terbesar semasa dalam koc LRT adalah memelihara mata daripada memandang perkara yang bukan hak kita untuk memandang.

Semoga Allah merahmati setiap usaha untuk mengembalikan syariat islam dimuka bumi tuhan ini. Insyaallah.

Wallahua'lam.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

(Petikan daripada kenyataan Presiden KTMB yang disiarkan hari ini Jumaat 17 Rabi'ul Akhir 1431/ 02 April 2010)

KUALA LUMPUR — Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bercadang untuk mewujudkan gerabak berasingan untuk penumpang lelaki dan wanita bagi perkhidmatan komuternya dalam usaha meningkatkan keselesaan para penumpangnya.
Presiden KTMB Dr Aminuddin Adnan berkata tinjauan yang dijalankan oleh KTMB menunjukkan 60 peratus penumpang KTM Komuter terdiri daripada kaum wanita dan selebihnya lelaki.
Katanya jika keretapi komuter mempunyai tiga gerabak, satu gerabak akan diperuntukkan untuk mereka yang berkeluarga serta warga emas dalam usaha KTMB mewujudkan keselesaan penumpang serta meningkatkan mutu perkhidmatannya.
Bagaimanapun sebelum melaksanakan cadangan tersebut, ia perlu diperincikan bagi mengelakkan sebarang isu lain yang akan timbul, katanya kepada pemberita selepas melancarkan program “Customer Service Star Award 2009” dan program Ikhlas Dari Hati di sini hari ini.
Aminuddin berkata, langkah pengasingan gerabak ini telahpun dilaksanakan di Jepun dan beberapa negara di Eropah.
Sementara itu, beliau berkata perkhidmatan komuter KTMB akan mendapat 38 set gerabak unit gandaan elektrik (EMU) yang baru dalam usaha mempertingkatkan perkhidmatannya.
Beliau berkata KTMB juga akan membaiki 15 set EMU yang lama dan usaha ini diharapkan dapat mengatasi masalah keretapi lambat tiba serta isu perjalanan dibatalkan.
Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan bila KTMB akan mendapat gerabak EMU baru itu, yang mampu meningkatkan jarak masa ketibaan antara satu komuter dengan satu komuter yang lain selama 7.5 minit.
Penambahan gerabak itu adalah untuk menampung pertambahan penumpang komuter yang dijangka meningkat kepada 300,000 penumpang setiap hari, katanya.
Mengenai program Ikhlas Daripada Hati itu ia merupakan program KTMB yang memberi penekanan kepada tiga nilai perkhidmatan cemerlang iaitu empati, mesra dan ikhlas (EMI) yang akan diamalkan oleh kakitangan KTMB bermula esok hingga 31 Mei ini dalam usaha meningkatkan mutu perkhidmatan KTMB, katanya.
Beliau berkata sepanjang tempoh program itu, seluruh kakitangan KTMB akan memakai butang lencana “Ikhlas Daripada Hati” sebagai tanda komitmen dalam memberi perkhidmatan cemerlang kepada para pelanggan. — Bernama

Read More !

Mana Milik Kita?

Mana milik kita?
Tidak ada milik kita
Semua yang ada
Allah yang punya

Tidak ada kita punya
Kita hanya mengusahakan saja
Apa yang kita dapat
Allah sudah sediakannya

Kita Allah punya
Dunia ini ciptaan-Nya

Miliklah apa saja
Tidak terlepas dari ciptaan-Nya

Mana kita punya
Tidak ada kepunyaan kita

Kita hanya mengusahakan
Apa yang telah ada

Mengapa kita sombong
Memiliki Allah punya

Mengapa tidak malu
Kepada Allah yang empunya

Patut bersyukur kepada Allah
Yang memberi segalanya

Malulah kepada Allah
Kerana milik Ia punya

Janganlah berbangga
Apa yang ada pada kita
Kalau Allah tidak beri
Kita tidak punya apa-apa

Janganlah mengungkit
Mengungkit jasa kita
Jasa kita di sisi-Nya
Yang sebenarnya Allah punya

Marilah kita bersyukur
Bukan berbangga

Bersyukur kepada Allah
Bukan mengungkit jasa

Gunakanlah nikmat Allah itu
Untuk khidmat kepada-Nya
Selepas itu lupakan saja
Agar tidak mengungkit-ungkitnya



Klik sini untuk muat turun

Read More !