Transit Aliran Ringan (LRT)

Alhamdulillah selamat jua sampai di bumi Tronoh ini. Tiga hari lepas, saya pulang ke KL, menziarahi keluarga dan menghadiri meeting untuk program motivasi STEP(Step toward excellence program)yang bakal diadakan pada bulan Jun nanti. Sudah menjadi kemestian, jikalau pulang ke KL, perkhidmatan shuttle KTM menjadi pilihan. Perkhidmatannya sangat memuaskan. Disamping harga tiket yang sangat berpatutan, waktu pelepasan tren juga mengikut waktu yang dijadualkan.

Sampai sahaja di Kuala Lumpur, saya beralih pula kepada perkhidmatan transit aliran ringan (LRT) yang menghubungkan saya dengan tempat-tempat pilihan di kota raya metropolitan ini. Mengikut pengamatan kasar saya, sudah banyak proses penambahbaikan yang telah dilakukan terhadap perkidmatan LRT di KL. Bilangan unit LRT sudah ditambah terutamanya pada waktu-waktu puncak bagi menampung penambahan penumpang yang kian meningkat terutamanya di lokasi-lokasi tumpuan seperti di Masjid Jamek dan KLCC.

Namun demikian ada satu hal juga yang agak menggelisahkan hati ramai orang ramai. Perkara ini sering berlaku pada waktu-waktu puncak.

Penumpang berasak-asak untuk mendapatkan ruang di dalam gerabak LRT!

Bukan kerana bimbang koc LRT tak mampu menampung beban penumpang sehingga boleh menyebabkan LRT bakal terlibat dengan kemalangan seperti yang sering berlaku di India.



Hal ini mustahil akan berlaku kerana jurutera yang bertanggungjawab membina koc LRT ini sudah memastikan setiap tren mematuhi spesifikasi yang diperlukan bagi menampung penumpang semaksimum mungkin. Namun apa yang dibimbangkan adalah situasi tolak menolak, tersentuh sana sini bagi mendapat tempat sekangkang kera di dalam tren tersebut.

Sudah pasti perkara ini menjadi suatu pengalaman ngeri bagi mereka yang pertama kali menaiki perkhidmatan LRT. Bagi yang sudah biasa, mereka terpaksa pejamkan mata dan melaluinya tanpa rela. Realiti ini kadang kala menjadi trauma terhadap para penumpang terutama golongan wanita, golongan warga tua dan kanak-kanak. Kaum wanita sering kali dirundung keresahan akibat terdedah dengan gangguan seksual. Kasihan juga melihat nenek yang sudah dimamah usia berhempas pulas dalam mengekalkan posisi stabil di dalam tren. Mungkin turun sahaja dari tren, nenek tua ini terus menukar haluan ke HKL bagi mendapatkan ubat sakit tulang belakang.

Pendekatan bijak

Saya begitu bersetuju apabila timbul idea bernas mahu menyediakan koc berasingan bagi kalangan lelaki dan wanita serta koc khas bagi mereka yang berkeluarga dan warga emas. Cadangan amat bernas ini sudah lama dilaksanakan di negara Jepun dan beberapa negara Eropah. Sudah pasti negara kita yang sering diwar-warkan sebagai negara Islam contoh patutnya sudah lama mengimplimentasikan sistem ini. Saya percaya ramai yang akan menyokong idea ini. Jika adapun yang menentang, mungkin dari kalangan Islam liberal, Sistem in Islam ataupun dari kalangan pasangan couple tegar yang sukar berpisah walaupun sesaat. Perlu diingatkan idea ini bukanlah untuk mendikrimasikan golongan tertentu tetapi adalah untuk menjamin keselesaan setiap penumpang.

Jika idea ini dilaksanakan, sudah pasti, keselesaan penumpang akan terjamin. Izzah atau kehormatan wanita akan terus terpelihara. Pandangan mata dapat terjaga, almaklumlah antara dugaan terbesar semasa dalam koc LRT adalah memelihara mata daripada memandang perkara yang bukan hak kita untuk memandang.

Semoga Allah merahmati setiap usaha untuk mengembalikan syariat islam dimuka bumi tuhan ini. Insyaallah.

Wallahua'lam.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

(Petikan daripada kenyataan Presiden KTMB yang disiarkan hari ini Jumaat 17 Rabi'ul Akhir 1431/ 02 April 2010)

KUALA LUMPUR — Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bercadang untuk mewujudkan gerabak berasingan untuk penumpang lelaki dan wanita bagi perkhidmatan komuternya dalam usaha meningkatkan keselesaan para penumpangnya.
Presiden KTMB Dr Aminuddin Adnan berkata tinjauan yang dijalankan oleh KTMB menunjukkan 60 peratus penumpang KTM Komuter terdiri daripada kaum wanita dan selebihnya lelaki.
Katanya jika keretapi komuter mempunyai tiga gerabak, satu gerabak akan diperuntukkan untuk mereka yang berkeluarga serta warga emas dalam usaha KTMB mewujudkan keselesaan penumpang serta meningkatkan mutu perkhidmatannya.
Bagaimanapun sebelum melaksanakan cadangan tersebut, ia perlu diperincikan bagi mengelakkan sebarang isu lain yang akan timbul, katanya kepada pemberita selepas melancarkan program “Customer Service Star Award 2009” dan program Ikhlas Dari Hati di sini hari ini.
Aminuddin berkata, langkah pengasingan gerabak ini telahpun dilaksanakan di Jepun dan beberapa negara di Eropah.
Sementara itu, beliau berkata perkhidmatan komuter KTMB akan mendapat 38 set gerabak unit gandaan elektrik (EMU) yang baru dalam usaha mempertingkatkan perkhidmatannya.
Beliau berkata KTMB juga akan membaiki 15 set EMU yang lama dan usaha ini diharapkan dapat mengatasi masalah keretapi lambat tiba serta isu perjalanan dibatalkan.
Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan bila KTMB akan mendapat gerabak EMU baru itu, yang mampu meningkatkan jarak masa ketibaan antara satu komuter dengan satu komuter yang lain selama 7.5 minit.
Penambahan gerabak itu adalah untuk menampung pertambahan penumpang komuter yang dijangka meningkat kepada 300,000 penumpang setiap hari, katanya.
Mengenai program Ikhlas Daripada Hati itu ia merupakan program KTMB yang memberi penekanan kepada tiga nilai perkhidmatan cemerlang iaitu empati, mesra dan ikhlas (EMI) yang akan diamalkan oleh kakitangan KTMB bermula esok hingga 31 Mei ini dalam usaha meningkatkan mutu perkhidmatan KTMB, katanya.
Beliau berkata sepanjang tempoh program itu, seluruh kakitangan KTMB akan memakai butang lencana “Ikhlas Daripada Hati” sebagai tanda komitmen dalam memberi perkhidmatan cemerlang kepada para pelanggan. — Bernama

No comments: