Muslim lebih kuat di Britain pada 2035

LONDON: Penduduk Muslim Britain akan mengatasi bilangan penganut Kristian yang ke gereja dalam tempoh 30 tahun lagi yang turut menyaksikan beribu-ribu gereja terpaksa ditutup, menurut satu kajian terbaru yang dilaporkan semalam.

Hasil kajian oleh kumpulan pemikir agama yang diumumkan kelmarin menunjukkan ada seramai 1.96 juta Muslim di Britain menjelang 2035 - jauh melebihi kira-kira 1.63 juta penganut Kristian, lapor akhbar Daily Mail.

Bilangan penduduk Kristian itu akan turut diatasi penduduk Hindu selepas 2050, lapor kajian terbaru oleh kumpulan pemikir Christian Research.

Kumpulan itu juga mendakwa, kira-kira 4,000 gereja dijangka tutup menjelang 2020 jika bilangan penganut Katolik yang mengunjungi gereja terus berkurangan secara mendadak berdasarkan trend masa kini.


Bagaimanapun, pihak Gereja England segera menyangkal kajian itu lewat kelmarin dan menyifatkannya sebagai ‘salah dan menyebabkan kekeliruan yang membahayakan.’

“Statistik seperti ini yang cuma berdasarkan andaian meragukan, tidak membantu mana-mana pengikut agama sekali pun. Penganut pelbagai agama bukannya saling bersaing dan kajian ini hanya mengundang bahaya,” kata jurucakap Gereja England berkenaan.

Bilangan Muslim itu berdasarkan angka dalam bancian kebangsaan pada 2001. Jika proses itu diambil kira bagi penganut Kristian, ada kira-kira 20 juta penganut agama itu yang kerap ke gereja, kata Church House.


Namun kajian itu tidak pula menyatakan bilangan Kristian yang ke gereja setiap minggu kerana ia cuma membabitkan golongan dewasa berdasarkan senarai pengundi rasmi. Mereka yang tersenarai itu dibenarkan mengundi di dalam mesyuarat peringkat gereja berkenaan.

Kalangan pakar sudah mengakui berbanding penganut lain, Muslim lebih terbukti mengamalkan agama mereka dengan lebih khusus.

Lebih separuh daripada Muslim yang menyertai bancian kebangsaan itu mengakui mereka solat lima waktu sehari berbanding 6.3 peratus penganut Kristian yang hadir di gereja sekali seminggu.

Awal tahun ini, Paderi Besar Canterbury, Dr Rowan Williams yang berpengaruh, menjadi sasaran kecaman apabila mengesyorkan undang-undang Britain perlu turut merangkumi beberapa aspek undang-undang Syariah yang mencetuskan kemarahan penduduk Kristian negara itu.

Sementara itu, Universiti Cambridge dan Universiti Edinburgh mengumumkan rancangan mewujudkan dua pusat penyelidikan baru untuk kajian Islam.

Ia bakal dilaksanakan dengan kerjasama pengerusi Yayasan Kingdom, Putera Alwaleed bin Abdulaziz AlSaud dari Arab Saudi.

Pusat penyelidikan baru itu akan melakukan penyelidikan dan kempen awam bertujuan meningkatkan persefahaman dunia Islam dengan bukan Islam. - Agensi


sumber:http://www.bharian.com.my/

No comments: