"Panggilan itu....."

Semasa pulang dari lecture pagi itu, tiba-tiba 'handset' aku berbunyi. Melalui nada deringnya menunjukkan itu adalah panggilan daripada ahli keluargaku. Aku telah setkan panggilan daripada ahli keluargaku berbeza dengan panggilan yang lain dengan nada klasik. Memang pelik untuk menerima panggilan daripada ibuku pada waktu-waktu pagi begini. Terdetik di hatiku adakah ada sesuatu kejutan untuk disampaikan kepadaku. Jauh di sudut hati timbul perasaan gementar dan takut jika ada sesuatu perkara buruk berlaku.

Aku teringat peristiwa yang berlaku kira-kira setahun yang lepas. Pada waktu itu cuti pertengahan semesta baru bermula. Aku menghubungi ibuku untuk memberitahu aku pulang lewat kerana menghadiri satu program. Namun,dengan nada sedih ibuku memberitahu bahawa abah di masukkan ke hospital. Terus tidak jadi untuk aku menghadiri program tersebut. Selepas menguruskan apa-apa yang patut, aku terus pulang ke rumah. Hal ini lebih penting berbanding program yang bakal dihadiri. Pada ketika itu, hanya Allah sahaja yang tahu akan perasaan aku. Fikiran aku kusut, perasaan bercampur-baur. Menurut ibu,petang itu, abah beritahu ibu yang abah sakit kepala. Sakit kepala yang dihadapi amat berbeza berbanding sakit yang dihadapi pada hari-hari yang lain. Yang ini lebih kuat. Selepas makan ubat yang dibekalkan oleh doktor, sakit kepala yang dihadapi berkurangan sedikit.

Keesokan harinya, perkara yang tidak terduga berlaku. Abah muntah-muntah. Hampir pengsan dibuatnya. Nasib baik ada abang Zaki yang tinggal di sebelah rumah. Dialah yang membawa abah ke hospital Pusrawi. Ibu tidak berani memandu walaupun mempunyai lesen kereta. Menurutnya memandu di bandar berbeza berbanding memandu di kampung. Sebelum kami tinggal di Kuala Lumpur, kami tinggal di sebuah FELDA di Terengganu.

Selama 3 hari di hospital, masih belum jelas akan penyakit yang dihadapi oleh abah. Sepanjang 3 hari berada di hospital, pandangan abah mula kabur. Abah mengadu pada ibu yang mata sebelah kiri abah langsung tidak nampak. Namun, abah tenang sahaja. Mungkin abah sudah biasa berhadapan dengan situasi ini. Sudah lama abah mengidap sakit buah pinggang. Mungkin pengalaman inilah yang menyebabkan abah tabah menghadapi situasi ini. Sepanjang abah berada di hospital, ibu setia berada di samping abah. Sudah hampir seminggu ibu tidak bekerja kerana menjaga abah. Alhamdulillah, sejak aku cuti, kuranglah sedikit bebanan ibu kerana akulah yang mengambil-alih tugas ibu menjaga abah di hospital sementara ibu meneruskan kerjanya yang terbengkalai di pejabat.

Keputusan 'CTSCAN' amat memeranjatkan. Menurut doktor, terdapat satu ketumbuhan di kepala abah. Saiznya adalah sebesar saiz bola pingpong. Rupa-rupanya, ketumbuhan itulah yang menekan urat mata abah dan menyebabkan penglihatan abah terganggu. Namun, doktor tidak dapat memastikan tahap ketumbuhan tersebut samada bahaya atau tidak. Doktor pakar mengesyorkan agar abah segera dibedah untuk membuang ketumbuhan tersebut. Kami menjadi tidak keruan kerana menurutnya lagi, pembedahan itu adalah berisiko tinggi dan peluangnya adalah 40:60. Dengan penyakit buah pinggang yang abah hadapi, mana mungkin abah mampu menghadapi pembedahan yang dilangsungkan selama 8 jam itu. Kami menjadi serba salah. Abah memang berani. Abah memberitahu kami, abah sanggup menghadapi pembedahan tersebut. Pada masa itu, aku menjadi sebak melihat ibu menangis dan tanpa disedari aku menitiskan air mata. Melihat wajah Nurul dan Nabila, aku semakin sebak. Mereka terlalu kecil untuk menghadapi situasi ini. Melihat wajah Kak Miza, abang Syahril dan Syahfiq, aku pasti mereka turut tidak sanggup menghadapi situasi ini. Pada masa itu, hanya pada Allah aku mengadu segalanya.

Memandangkan risiko yang dihadapi, doktor memberi kami pilihan ke dua, iaitu teknik 'radiology'. Kaedah ini memerlukan kos yang tinggi dan mengambil masa yang lama. Abah bersetuju dengan kaedah ini. Kami memang bernasib baik kerana sebahagian besar kos rawatan dibiayai oleh FELDA. Jika tidak, manalah agaknya sumber untuk mendapatkan wang bagi menampung kos rawatan. Sebaik aku pulang ke UTP, abah meneruskan rawatan radiologynya. Abah terpaksa menghadiri 30 kali sesi rawatan dan setiap rawatan kosnya adalah RM 2000. Ibulah yang menemani abah pada setiap kali rawatan diadakan. Aku bersyukur kerana dikurniakan seorang ibu yang penyayang.

Sejak dari itu, keadaan abah semakin baik, semakin hari, penglihatan abah semakin jelas. Pada tahun lepas, kami beraya di Kuala Lumpur buat pertama kalinya kerana rawatan abah. Suasananya jelas amat meriah dengan adanya setiap anggota keluargaku walaupun persiapannya ala kadar sahaja. Selepas habis 30 kali rawatan radiologi tersebut, abah diminta untuk kembali ke hospital Subang Jaya,tempat abah membuat rawatan radiologi pada akhir bulan 7 tahun 2007 untuk melihat kembali keadaan ketumbuhan abah....................

Baru aku teringat bahawa tarikh tersebut adalah pada hari ibu menghubungi aku pagi itu. Perasaan cemas mula menyelubungi diri sewaktu bercakap dengan ibu. Aku tanyakan perihal abah. Dengan suara yang girang, ibu memberitahu aku bahawa ketumbuhan abah telah hilang sepenuhnya. Ibu meminta aku melakukan sujud syukur. Alhamdulillah...Ungkapan itu aku ucapakan sebagai tanda syukur kepada Allah. Aku menitiskan air mata. Allah masih lagi memberi kesempatan untuk aku dambakan kasih sayang ibu dan abah. Di dunia ini mereka lah insan yang paling aku sayang dan cintai. Wallahuallam....

2 comments:

Anonymous said...

apsal cam familiar jer crite ni. don't worry la. that is not a cancerous tumor. its benign craniopharyngioma. it compressed the optic chiasma in the base of brain. that's why the loss of vision takes place. it's called bitemporal hemianopia. severe headache and vomiting are the symptoms of increased intracaranial pressure (raised pressure in the 'brain'). skull is like a chamber or confined space with doesn't allow any expansion. that's why if the tumors grow in the brain there's no enough space for that growth. the thing that that hs to be worried is the renal failure. the tumor thing is over.

Anonymous said...

apsal cam familiar jer crite ni. don't worry la. that is not a cancerous tumor. its benign craniopharyngioma. it compressed the optic chiasma in the base of skull @ the pituitary fossa. optic chiasma tu carries msg saraf dari mata. benda tu plk duduk bawah pituitary fossa. that's why the loss of vision takes place. it's called bitemporal hemianopia. severe headache and vomiting are the symptoms of increased intracaranial pressure (raised pressure in the 'brain'). skull is like a chamber or confined space which doesn't allow any expansion. that's why if the tumors grow in the brain there's no enough space for that growth. the thing that that has to be worried is the renal failure. the tumor thing is over. kalu tak faham cari dlm internet jer la erk. kalau rajin baca buku medic.