Adakah sinar itu akan terus mekar?

Pagi ni penulis terbaca berita di ruangan dunia berita harian. Penulis tergamam seketika apabila membaca berita tentang kemenangan besar Parti Keadilan dan Pembangunan (AK) Turki di arena politik Turki. Memang ini satu berita yang dinantikan bagi setiap pendokong dan gerakan-gerakan Islam di seluruh dunia. Sudah sekian lama Turki dilabel sebagai sebuah negara sekular terulung selepas kejatuhan empayar khilafah islamiah, namun dengan kemenangan parti AK sudah pasti memberi sinar kepada sistem islam untuk kembali mekar di Turki dan seluruh dunia amnya.

AK memenangi 46.3 peratus undi selepas 99.9 peratus pengiraan undi selesai. Ia adalah kemenangan terbesar pernah diraih sebuah parti Turki sejak pemilihan Parlimennya dimulakan pada 1969. Kemenangannya itu menyaksikan AK menguasai 339 daripada 550 kerusi Parlimen – mandat cukup bagi menubuhkan kerajaannya sendiri. Parti itu mempunyai 352 ahli Parlimen sebelum ini dan pencapaiannya kali ini meningkat 12 peratus berbanding 2002. Namun, bilangan kerusinya berkurangan disebabkan kehadiran ramai anggota daripada lebih banyak parti berbanding sebelumnya. Parti Republikan Rakyat yang menjadi parti sekular utama (CHP) di tempat kedua dengan 20.9 peratus undi atau kira-kira 112 kerusi, mengikut keputusan tidak rasmi. Parti Tindakan Nasionalis (MHP) yang berhaluan kanan di tempat ketiga dengan 14.2 peratus (71 kerusi). (Berita Harian, 24 Julai 2007)

Namun terfikir sejenak adakah keadan ini akan berterusan ataupun akan muncul segelintir golongan yang bakal muncul sebagai golongan penentang terhadap keputusan ini. Menyedari situasi ini, sudah pasti golongan elit Turki yang sekular dan pasukan tentera yang berpengaruh tidak akan duduk diam. Mereka pasti akan mencanang pelbagai strategi untuk mengawal situasi ini.

3 bulan lalu, pencalonan Menteri Luar Abdullah Gul sebagai presiden baru telah mencetuskan pertikaian dengan golongan elit yang sekular. Krisis itu mencapai kemuncaknya apabila pasukan tentera yang berpengaruh memberi amaran dalam satu kenyataan tegas yang ia bersedia melakukan apa saja demi melindungi sistem sekular dan berjuta-juta penduduk Turki menyertai bantahan jalan raya bagi menentang pemilihan calon AK sebagai presiden.

Namun, sudah pasti pucuk pimpinan AK ,Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan akan merancang strategi tersendiri. Ini jelas dibuktikan melalui kenyataan beliau bahawa beliau akan meneruskan komitmen terhadap sistem sekular dan memastikan Turki menjadi anggota Kesatuan Eropah (EU). Mungkin sesetengah golongan mempertikaikan kenyataan beliau. Namun penulis percaya bahawa ini hanyalah satu strategi. Tindakan ini akan mampu mengekang ancaman puak tentera dan golongan elit sekular Turki yang sentiasa mahukan sistem sekular terus diamalkan di negara itu.

Sekiranya Turki berjaya menyertai EU, cengkaman pihak tentera terhadap kerajaan Turki akan mula berkurangan. Hal ini demikian, apabila sesebuah negara menganggotai EU, tentera tidak akan diberikan mandat untuk mencampuri urusan kerajaan. Dengan ini, Parti pemerintah bebas melaksanakan dasar-dasar tanpa ada apa-apa campurtangan daripada pihak tentera. Mungkin ini strategi yang mahu dilaksanakan oleh Erdogen untuk mengembalikan kerajaan Islam di negara Turki.

Walau apapun keadaan di Turki, kita sentiasa mengharapkan agar kerajaan islam akan kembali bertapak di Turki. Kemenangan besar Parti AK jelas menunjukkan bahawa sebahagian besar masyarakat Turki menginginkan tertegaknya kembali kerajaan khilafah islamiah di Turki.
Mereka sudah sekian lama tertekan berada di bawah satu sistem yang jelas sekali menolak ajaran islam untuk diamalkan dalam kehidupan seharian. Wallahuallam...

1 comment:

Anonymous said...

thanx