"Abang Syah, Cikgu Roslina tunggu abang kat bilik komputer, berkenaan dengan permohonan biasiswa PETRONAS petang tadi katanya", bisik seorang junior saya sebaik sahaja saya habis mengimamkan solat isyak secara berjemaah.
"Eh, betul ke ni? Tak silap abang, permohonan tu dah ditutup pukul 5 petang tadi" balas saya.
"Macam ni bang, Cikgu Roslina ada kenalan yang bekerja dengan Unit Penganjuran Pendidikan Petronas. Cikgu minta untuk dilanjutkan tempoh permohonan tu", balasnya kembali.
"Alhamdulillah, syukur, masih ada peluang" bisik hati kecil saya.
Pada waktu itu, bulan Ramadhan. Kami, pelajar-pelajar tingkatan 5 baru sahaja menduduki peperiksaan percubaan SPM. Aura bulan Ramadhan tahun itu memberi kami semangat untuk terus berjuang mentelaah pelajaran sebelum pentempuran sebenar bermula lebih kurang 1 bulan berikutnya.
Pada waktu itu juga, PETRONAS membuka tawaran tajaan biasiswanya kepada pelajar-pelajar lepasan SPM untuk melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah di universiti-universiti tempatan dan luar negara dengan menggunakan keputusan peperiksaan percubaan. Tidak semua yang layak. Hanya mereka yang tergolong dalam top 40 dalam ujian percubaan sahaja dibenarkan untuk memohon. Alhamdulillah saya tergolong dalam lingkungan tersebut. Namun, disebabkan ranking saya agak terkebelakang, maka giliran saya untuk mengisi borang secara talian tersebut juga terkebelakang.
Pada petang hari tersebut, keadaan bilik komputer kecoh sekali. Maklumlah pengalaman pertama mengisi permohonan biasiswa. Perasaan teruja dan gelisah bercampur baur pada diri kami. Komputer yang digunakan pula hanya 3 buah. Jam hampir menunjukkan pukul 5 petang. Bilangan mereka yang masih belum mengisi borang secara talian masih ramai.
Saya dan beberapa rakan yang lain mengambil keputusan untuk pulang. Insyaallah, nanti saya akan memohon kembali apabila keputusan sebenar SPM keluar. Namun, keajaiban berlaku pada malam tersebut. Saya masih sempat untuk memohon. Allah maha kaya!
Dipendekkan cerita, 13 orang antara kami yang memohon telah disenarai pendek untuk menghadiri EduCamp, satu program pendedahan yang menekankan aspek softkill yang bakal dipraktikkan semasa temuduga nanti. Alhamdulillah, 5 orang telah terpilih menerima tajaan PETRONAS untuk belajar di UTP dan saya adalah salah seorang daripadanya!
Saya yakin semua ini adalah satu anugerah dan rezeki dari Allah. Pengalaman ini begitu membahagiakan saya. Saya tak perlu lagi memikirkan tempat untuk belajar selepas mendapat keputusan sebenar kerana saya telah memulakan pengajian ijazah sebelum keputusan SPM diumumkan. kalau nak difirkan, keputusan percubaan SPM saya biasa-biasa sahaja dan penglibatan kokurikulum saya tidaklah sehebat rakan-rakan yang lain.
Kini, sudah lebih 5 tahun perisitiwa itu berlalu. Saya pun sudah menamatkan pengajian ijazah saya dan kini sedang menyambung pengajian pasca ijazah saya di universiti yang sama. Insyaallah, kalau diizinkan, ingin saya membalas kembali jasa penaja saya yang telah melaburkan lebih RM 100 000 untuk kos pengajian dan elaun-elaun lain
Perihal Bahagia.
Fitrah setiap insan inginkan kebahagiaan. Setiap orang meletakkan kebahagiaan sebagai matlamat kehidupan. Namun kebahagiaan itu adalah perkara subjektif untuk dibincangkan. Setiap orang memiliki persepsi tersendiri berkenaannya.
Ada manusia menjadikan harta sebagai pentunjuk aras bahagia. Ada juga manusia berasa bahagia apabila memiliki pangkat dan kuasa. Tak kurang juga mereka yang merasakan bahagia itu adalah dengan memiliki kestabilan keluarga dan kerjaya.
Ingin saya berkongsi satu kisah. Sewaktu dalam keretapi, semasa dalam perjalanan pulang ke bumi Tronoh ini, saya ditakdirkan untuk duduk bersebelahan dengan seorang pemuda cina. Seingat saya, dia memperkenalkan dirinya sebagai Ah Yatt. Pada mulanya saya berasa kekok untuk berbual dengannya. Gayanya seperti mahu berpindah rumah. Dengan beg pack yang besar beserta dengan beberapa bungkusan barangan yang lain, sudah cukup menggambarkan dia seorang lelaki yang pelik.
Saya memberanikan diri juga untuk berbual dengannya. Senyuman diberi, salam dihulurkan. Jangkaan saya meleset sama sekali. Ah Yatt merupakan seorang peramah. Dia merupakan seorang penggemar hiking. Hampir semua gunung di Malaysia sudah ditawannya. Sebut sahaja nama apa-apa gunung, dia boleh bercerita dengan panjang lebar. Saya melayan cerita Ah Yatt berkenaan pengalaman-pengalamannya yang telah ditempuhinya.
Menurut Ah Yatt, keesokan harinya dia akan memeriksa laluan hiking yang bakal dilalui oleh kelabnya pada minggu seterusya yang mana bermula dari Ulu Kinta, Perak dan berakhir di sempadan Perak, Kelantan. Pemeriksaan trek itu dilakukan sendirian! Saya bertanya Ah Yatt, apa yang menyebabkan dia begitu obses dengan hobinya itu. Maklumlah, Ah Yatt sudah mempunyai kerjaya yang hebat, seorang konsultan di sebuah firma kejuruteraan dan masih belum berkeluarga. Baik masa dan wangnya digunakan untuk merancang masa depannya.
"Saya menemukan ketenangan dan kebahagiaan daripadanya" Jawab Ah Yatt ringkas.
Punca Kebahagiaan
Dari mana asal kebahagiaan itu? Adakah berpunca dari luar ke dalam (outside-in) atau dari dalam ke luar (inside-out)? Realiti sekarang, masyarakat merasakan bahagia itu bersumber dari faktor luaran. Memiliki harta yang banyak, pangkat yang tinggi, rupa yang menawan, memiliki isteri dan suami yang rupawan atau kelulusan yang tinggi merupakan antara penyebab yang difikirkan mampu memberi kebahagiaan kepada diri.
Atas sebab itulah, manusia akan sentiasa berusaha sedaya upaya untuk memiliki faktor luaran tersebut dan lebih malang lagi apabila ada yang sanggup untuk mencapainya dalam apa-apa keadaan sekalipun baik dari jalan yang dilarang. Saban hari, masalah-masalah yang berlaku dalam masyarakat seperti kes rasuah,seks luar nikah, mencuri, pembuangan bayi sering berlaku akibat persepsi negatif ini.
Antara Hati dan Nafsu
Kehendak dan keinginan timbul kerana manusia dianugerahkan Allah dengan nafsu. Dengan nafsu kita tidur, makan, berhibur dan sebagainya lagi. Dengan nafsu, kita boleh survive di muka bumi Allah ini. Namun, adakah dengan memenuhi keinginan nafsu ini kita boleh bahagia? Satu analogi mudah, jika kita suka makan ulam cicah budu cap ketereh, adakah dengan makan budu cap ketereh itu sebanyak lima pinggan, kita akan bahagia? Dengan memenuhi keinginan nafsu, kita akan berasa puas seketika, namun jika terus dilayan akan membawa kepada kemudaratan dan keluh kesah. Hal ini Allah ceritakan dalam surah yusuf, ayat ke 53.
"Dan aku tidak (menyatakan) diriku bebas (dari kesalahan), kerana sesungguhnya nafsu manusia itu selalu mendorong kepada kejahatan, kecuali (nafsu) yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang."
Allah juga menciptakan hati yang merupakan tempat letaknya roh.[1] Hati dan ruh merupakan penghubung antara manusia dan Allah. Dengannya manusia dapat mengenal Allah dan segala sifat kesempurnaan-Nya. [2] Kebahagiaan itu ialah memiliki hati yang tenang dalam menghadapi apa jua ujian dalam kehidupan. Inilah erti bahagia yang sebenar selaras petunjuk Allah di dalam Al Quran. Firman Allah:
“Ketahuilah dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang.” Al Ra’du 28.
Rasulullah S.A.W. juga telah bersabda:
” Bahawasanya di dalam tubuh badan manusia ada seketul daging. Apabila ia baik, baik pulalah seluruh badan, tetapi apabila ia rosak maka rosak pulalah seluruh badan. Ingatlah ia adalah hati. ” (riwayat Bukhari Muslim)
Rasulullah S.A.W bersabda lagi:
” Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta benda tetapi kekayaan itu sebenarnya ialah kaya hati “
Kaya hati bermaksud hati yang tenang, lapang dan merasa cukup dengan apa yang dimiliki, bersyukur dengan apa yang ada, sabar dengan apa yang tiada.[3]
Oleh itu hati perlu dibersihkan serta dipulihara dan dipelihara “kesihatannya” agar lahir sifat-sifat mahmumah seperti amanah, sabar, syukur, qanaah, reda, pemaaf dan sebagainya. Kemuncak kebahagiaan ialah apabila hati seseorang mampu mendorong pemiliknya melakukan kebaikan dan menghindari kejahatan dan larangan yang ditentukan oleh Islam dengan mudah.[3]
[1] Keajaiban hati manusia,http://halaqah.net/v10/index.php?page=253, 6 May 2010
[2] Ustaz Abdullah Zaik, Jiwa Tenang, http://www.youtube.com/watch?v=J9wtnmDgQYc&feature=player_embedded, 6 May 2010
[3] Inilah makna bahagia, http://genta-rasa.com/inilah-makna-bahagia/, 6 May 2010
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
KAEDAH MENCARI BAHAGIA MENURUT AL QURAN DAN AS SUNAH:
sumber: http://genta-rasa.com/inilah-makna-bahagia/
1. Beriman dan beramal salih.
“Siapa yang beramal salih baik laki-laki ataupun perempuan dalam keadaan ia beriman, maka Kami akan memberikan kepadanya kehidupan yang baik dan Kami akan membalas mereka dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang mereka amalkan.” (An-Nahl: 97)
Ibnu ‘Abbas RA meriwayatkan bahawa sekelompok ulama mentafsirkan bahawa kehidupan yang baik (dalam ayat ini) ialah rezeki yang halal dan baik (halalan tayyiban). Sayidina Ali pula mentafsirkannya dengan sifat qana’ah (merasa cukup). Ali bin Abi Thalhah dari Ibnu ‘Abbas, meriwayatkan bahawa kehidupan yang baik itu adalah kebahagiaan.
2. Banyak mengingat Allah .
Dengan berzikir kita akan mendapat kelapangan dan ketenangan sekali gus bebas daripada rasa gelisah dan gundah gulana. Firman Allah:
“Ketahuilah dengan mengingat (berzikir) kepada Allah akan tenang hati itu.” (Ar-Ra’d: 28)
3. Bersandar kepada Allah.
Dengan cara ini seorang hamba akan memiliki kekuatan jiwa dan tidak mudah putus asa dan kecewa. Allah berfirman:
“Siapa yang bertawakal kepada Allah maka Allah akan mencukupinya.” (Ath-Thalaq: 3)
4. Sentiasa mencari peluang berbuat baik.
Berbuat baik kepada makhluk dalam bentuk ucapan mahupun perbuatan dengan ikhlas dan mengharapkan pahala daripada Allah akan memberi ketenangan hati.
Firman-Nya:
“Tidak ada kebaikan dalam kebanyakan bisikan-bisikan mereka kecuali bisikan-bisikan dari orang yang menyuruh ( manusia) untuk bersedekah atau berbuat kebaikan dan ketaatan atau memperbaiki hubungan di antara manusia. Barang siapa melakukan hal itu karena mengharapkan keredaan Allah, nescaya kelak Kami akan berikan padanya pahala yang besar.” (An-Nisa: 114)
5. Tidak panjang angan-angan tentang masa depan dan tidak meratapi masa silam.
Fikir tetapi jangan khuatir. Jangan banyak berangan-angan terhadap masa depan yang belum pasti. Ini akan menimbulkan rasa gelisah oleh kesukaran yang belum tentu datang. Juga tidak terus meratapi kegagalan dan kepahitan masa lalu karena apa yang telah berlalu tidak mungkin dapat dikembalikan semula. Rasulullah SAW bersabda: “Bersemangatlah untuk memperoleh apa yang bermanfaat bagi mu dan minta tolonglah kepada Allah dan janganlah lemah. Bila menimpa mu sesuatu (dari perkara yang tidak disukai) janganlah engkau berkata: “Seandainya aku melakukan ini nescaya akan begini dan begitu,” akan tetapi katakanlah: “Allah telah menetapkan dan apa yang Dia inginkan Dia akan lakukan,” karena sesungguhnya kalimat ‘seandainya’ itu membuka amalan syaitan.” (HR. Muslim)
6. Melihat “kelebihan” bukan kekurangan diri.
Lihatlah orang yang di bawah dari segi kehidupan dunia, misalnya dalam kurniaan rezeki karena dengan begitu kita tidak akan meremehkan nikmat Allah yang diberikan Allah kepada kita. Rasulullah SAW bersabda:
“Lihatlah orang yang di bawah kamu dan jangan melihat orang yang di atas kamu karena dengan (melihat ke bawah) lebih pantas untuk kamu tidak meremehkan nikmat Allah yang dilimpahkan-Nya kepada kamu.” (HR. Al-Bukhari dan Muslim)
7. Jangan mengharapkan ucapan terima kasih manusia.
Ketika melakukan sesuatu kebaikan, jangan mengharapkan ucapan terima kasih ataupun balasan manusia. Berharaplah hanya kepada Allah. Kata bijak pandai, jangan mengharapkan ucapan terima kasih kerana umumnya manusia tidak pandai berterima kasih. Malah ada di antara hukama berkata, “sekiranya kita mengharapkan ucapan terima kasih daripada manusia nescaya kita akan menjadi orang yang sakit jiwa!”. Firman Allah:
“Kami memberi makan kepada kalian hanyalah karena mengharap wajah Allah, kami tidak menginginkan dari kalian balasan dan tidak pula ucapan terima kasih.” (Al Insan: 9)
Ketidaksamarataan dalam Pendidikan
5 years ago
1 comment:
Tak nampak sapa2 komen kat sini. So teringin la nk komen supaya tak nampak kosong. Tak tau pulak kisah ni. tak penah cerita pun...
Post a Comment