Coretan Pengalaman

Bismillahirrahmanirrahim.

Sudah hampir 3 minggu latihan industri sudah tamat dan bermakna kini sudah masuk minggu ke-3 semester baru bermula. Untuk pengetahuan semua, kini aku sudah berada di tahun akhir pengajianku. Tahun yang mungkin kritikal bagi sesetengah pelajar dan mungkin tahun yang agak santai bagi sesetengah yang lain bergantung kepada pesepsi diri masing-masing.



Sudah semestinya rutin hidupku di universiti sekarang agak berbeza dengan semester-semester sebelumnya. Final year project (FYP) atau lebih dikenali sebagai Tesis bagi universiti awam semestinya menjadi antara agenda utamaku bagi semester ini.

Latihan industri yang berkhir telah meninggalkan banyak pengalaman. Pengalaman suka, duka, aneh, seram, dan lain-lain lagi. Baik di tempat kerja ataupun di rumah sewa. Walaubagaimanapun, semuanya baru dan amat berharga buatku.

Antara individu yang paling sukar untuk dilupakan nenek. Nenek tinggal di sebelah rumah sewa kami dan merupakan pemilik rumah tersebut. Nenek memang baik. Sewa rumah kami sebulan hanyalah RM80 sahaja tak termasuk bil air dan letrik. Nenek faham status kami yang masih bergelar pelajar. Sejak dari generasi awal penghuni rumah tersebut hingglah kepada kami, sewa rumah tidak pernah berubah.


Nenek yang ceria

Menurut nenek, dia suka ada orang yang menyewa bersebelahan rumahnya. Paling kurang tak lah terlalu sunyi kawasan rumah nenek bila kami menghuni di situ. Nenek anggap kami macam cucunya sendiri.

Sebaik pulang dari kerja, sering aku bersembang dengan nenek. Bersembang dengan nenek memang seronok. Nenek tidak pernah kering idea. Ada saja topik baru muncul. Ingatan nenek memang kuat walaupun umurnya hampir mencecah 80 tahun. Badannya masih gagah. Berkebun dan menternak sudah menjadi rutin harian bagi nenek. Pesan nenek, kalau nak kekal sihat dan kuat, hubungan dengan Allah mesti dijaga. Ibadah wajib dan sunat jangan ditinggalkan.

Aku berasa sangat bertuah kerana dapat tinggal di kampung sepanjang tempoh aku menjalani latihan industri. Selain kos hidup yang rendah, orang kampung juga sangat baik dengan kami. Sekiranya ada kenduri kendara, kami turut dijemput hadir untuk memeriahkan lagi majlis. Jika ada program di surau, pasti ada juadah yang disumbangkan oleh orang kampung. Semasa musim buah-buahan yang lalu, kami tidak perlu mengeluarkan wang untuk mendapatkan buah-buahan seperti durian, manggis, rambutan, duku dan langsat kerana ada sahaja orang kampung menyedekahkannya kepada kami.


BMW ku berlatarbelakangkan rumah sewa.

Bulan puasa adalah bulan yang paling seronok. Selalu juga kami menerima pelawaan daripada orang kampung untuk berbuka puasa dengan mereka. Malahan, sewaktu raya, hampir semua rumah orang kampung telah kami ziarahi.

Begitulah gambaran bertapa indahnya suasana hidup di kampung. Suasananya yang jauh dari hiruk pikuk kota amat menenangkan bagi penghuninya.


Suasana Kampung Kemengakang, Jasin


1 comment:

azizah said...

salam din....nice blog....enjoy bace....hehe
rajin ko mengarang......