Apr
25

Matlamat Jangka Pendek

Kenangan sewaktu hujung minggu baru-baru ini begitu bermakna sekali. Alhamdulillah diberi kesempatan oleh Allah untuk menghadiri program daurah fiqh, satu program ilmiah dan diselangi dengan beberapa aktiviti santai.

Bermula dengan pengisian fiqh solat oleh Ustaz Aqib seterusnya aktiviti riadah bersama ikhwah UTP. Pada malamnya, kami juga turut serta dalam memeriahkan konsert islamik tahunan di UTP, Kembara Sufi. Keesokannya, qiam bersama ikwah Akademi Ikatan Muslimin (AIM)dan diakhiri dengan riadah bersama ustaz-ustaz dan ikhwah-ikhwah sekitar Perak.

Dalam slot taaruf sebelum berakhirnya program tersebut, moderator meminta kami memperkenalkan serba sedikit tentang diri masing-masing. Antara perkara yang diminta untuk disampaikan adalah berkenaan dengan matlamat pendek masing-masing. Maka, pelbagai jawapanlah yang keluar dari kalangan kami.

Disebabkan kebanyakan ikhwah yang hadir adalah pelajar-pelajar Sijil Agama Tinggi Malaysia (STAM), kebanyakan jawapan adalah untuk Mumtaz dalam STAM seterusnya dapat melanjutkan pelajaran di Universiti Al-Azhar atau universiti di timur tengah yang lain. Disebabkan saya baru sahaja grad beberapa bulan yang lalu, jawapan saya untuk permasalahan matlamat jangka pendek ini adalah untuk nikah dan disambut dengan hilai tawa semua orang. Saya serius,bukan buat lawak. Tegas saya ketika itu.

Namun ditengah-tengah keriangan kami mendengar jawapan-jawapan lucu yang diberikan, tiba giliran seorang ustaz. "Mati!" jawab ustaz itu ringkas. Kemudian, tiba pula giliran seorang ikhwah AIM. "Mencipta sebaik-baik kematian." Begitulah mendalam sekali jawapan mereka. Inilah realiti yang perlu kita fikirkan.
Kematian adalah sesuatu yang pasti. Semua makhluk ciptaan Allah pasti akan merasainya. Malaikat maut sendiripun akan menghadapinya walaupun skop tugasnya adalah untuk mencabut nyawa manusia. Firman Allah,

Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kemudian hanyalah kepada Kami kamu dikembalikan.(Al-ankabut, 29:57)

Kita tidak pernah sama sekali dapat menduga bila waktu kematian kita. Tiada manusia yang dapat memastikan adalah dia dapat mencelikkan matanya untuk keesokan harinya. Apa yang mampu kita lakukan adalah untuk bersedia untuk saat kematian yang pasti menjelma.

Sesungguhnya, orang yang bijak itu akan sentiasa mengingati saat kematiannya. Mengapa dikatakan bijak akan orang yang sentiasa mengingati mati? Ini kerana, mereka yang sentiasa mengingati mati ini, akan sentiasa berhati-hati dalam melaksanakan urusan kedunianya. Mereka tidak mahu dengan sedikit kelalaian dan keingkaran yang dilakukan di dunia bakal mengakibatkan mereka terpaksa menunggu masa yang lama untuk mendapatkan kenikmatan yang dijanjikan Allah di syurga nanti. Setiap masa mereka akan dperhati dan dievaluasi agar sentiasa berada dalam ketaatan kepada Allah.

Satu analogi mudah. Di dalam satu sektor pengeluaran, seorang jurutera proses akan memastikan setiap parameter dan kondisi dalam mengeluarkan sesuatu produk dipatuhi dengan teliti agar produk akhirnya bebas dari segala kecacatan yang bakal mempengaruhi keuntungan serta penerimaan di dalam pasaran. Bolehlah kita katakan produk itu sebagai diri kita, dan parameter serta kondisi pengeluaran itu sebagai segala syariat dan peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah. Namun begitu, tiada siapa yang dapat mengawal proses ini melainkan diri kita sendiri.

Kita juga tidak tahu bagaimanakah keadaan sewaktu kita mati nanti, Adakah kita mati dalam ketaatan atau dalam keaadan bermaksiat kepada Allah. Sama-samalah kita bermohon agar dikekalkan dalam ketaatan agar dikurniakan dengan sebaik-baik mati agar roh kita berada dalam keadaan tenang apabila menghadap Allah kelak.

******Bila Malaikat Mencabut Nyawa******

http://www.pekanrabu.com/zubir/mati.html

Baginda Rasullullah S.A.W bersabda:
"Apabila telah sampai ajal seseorang itu maka akan masuklah satu kumpulan malaikat ke dalam lubang-lubang kecil dalam badan dan kemudian mereka menarik rohnya melalui kedua-dua telapak kakinya sehingga sampai kelutut. Setelah itu datang pula sekumpulan malaikat yang lain masuk menarik roh dari lutut hingga sampai ke perut dan kemudiannya mereka keluar. Datang lagi satu kumpulan malaikat yang lain masuk dan menarik rohnya dari perut hingga sampai ke dada dan kemudiannya mereka keluar. Dan akhir sekali datang lagi satu kumpulan malaikat masuk dan menarik roh dari dadanya hingga sampai ke kerongkong dan itulah yang dikatakan saat nazak orang itu."

Sambung Rasullullah S.A.W. lagi:
"Kalau orang yang nazak itu orang yang beriman, maka malaikat Jibrail A.S. akan menebarkan sayapnya yang disebelah kanan sehingga orang yang nazak itu dapat melihat kedudukannya di syurga. Apabila orang yang beriman itu melihat syurga, maka dia akan lupa kepada orang yang berada disekelilinginya. Ini adalah kerana sangat rindunya pada syurga dan melihat terus pandangannya kepada sayap Jibrail A.S."

Kalau orang yang nazak itu orang munafik, maka Jibrail A.S. akan menebarkan sayap disebelah kiri. Maka orang yang nazak tu dapat melihat kedudukannya di neraka dan dalam masa itu orang itu tidak lagi melihat orang disekelilinginya. Ini adalah kerana terlalu takutnya apabila melihat neraka yang akan menjadi tempat tinggalnya.

Dari sebuah hadis bahawa apabila Allah S.W.T. menghendaki seorang mukmin itu dicabut nyawanya maka datanglah malaikat maut.Apabila malaikat maut hendak mencabut roh orang mukmin itu dari arah mulut maka keluarlah zikir dari mulut orang mukmin itu dengan berkata:

"Tidak ada jalan bagimu mencabut roh orang ini melalui jalan ini kerana orang ini sentiasa menjadikan lidahnya berzikir kepada Allah S.W.T." Setelah malaikat maut mendengar penjelasan itu, maka dia pun kembali kepada Allah S.W.T. dan menjelaskan apa yang diucapkan oleh lidah orang mukmin itu. Lalu
Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud:

"Wahai malaikat maut, kamu cabutlah ruhnya dari arah lain." Sebaik saja malaikat maut mendapat perintah Allah S.W.T. maka malaikat maut pun cuba mencabut roh orang mukmin dari arah tangan. Tapi keluarlah sedekah dari arah tangan orang mukmin itu, keluarlah usapan kepala anak-anak yatim dan keluar penulisan ilmu. Maka berkata tangan: Tidak ada jalan bagimu untuk mencabut roh orang mukmin dari arah ini, tangan ini telah mengeluarkan sedekah, tangan ini mengusap kepala anak-anak yatim dan tangan ini menulis ilmu pengetahuan."

Oleh kerana malaikat maut gagal untuk mencabut roh orang mukmin dari arah tangan maka malaikat maut cuba pula dari arah kaki. Malangnya malaikat maut juga gagal melakukan sebab kaki berkata:

"Tidak ada jalan bagimu dari arah ini kerana kaki ini sentiasa berjalan berulang alik mengerjakan solat dengan berjemaah dan kaki ini juga berjalan menghadiri majlis-majlis ilmu."

Apabila gagal malaikat maut, mencabut roh orang mukmin dari arah kaki, maka malaikat maut cuba pula dari arah telinga. Sebaik saja malaikat maut menghampiri telinga maka telinga pun berkata:

"Tidak ada jalan bagimu dari arah ini kerana telinga ini sentiasa mendengar bacaan Al-Quran dan zikir." Akhir sekali malaikat maut cuba mencabut orang mukmin dari arah mata tetapi baru saja hendak menghampiri mata maka berkata mata:

"Tidak ada jalan bagimu dari arah ini sebab mata ini sentiasa melihat beberapa mushaf dan kitab-kitab dan mata ini sentiasa menangis kerana takutkan Allah." Setelah gagal maka malaikat maut kembali kepada Allah S.W.T. Kemudian Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud: "Wahai malaikatKu, tulis AsmaKu ditelapak tanganmu dan tunjukkan kepada roh orang yang beriman itu." Sebaik saja mendapat perintah Allah S.W.T. maka malaikat maut menghampiri roh orang itu dan menunjukkan Asma Allah S.W.T.

Sebaik saja melihat Asma Allah dan cintanya kepada Allah S.W.T maka keluarlah roh tersebut dari arah mulut dengan tenang.

Abu Bakar R.A. telah ditanya tentang kemana roh pergi setelah ia keluar dari jasad. Maka berkata Abu Bakar R.A:"Roh itu menuju ketujuh tempat:-

1. Roh para Nabi dan utusan menuju ke Syurga Adnin.
2. Roh para ulama menuju ke Syurga Firdaus.
3. Roh mereka yang berbahagia menuju ke Syurga Illiyyina.
4. Roh para shuhada berterbangan seperti burung di syurga mengikut kehendak mereka.
5. Roh para mukmin yang berdosa akan tergantung di udara tidak di bumi dan tidak di langit sampai hari kiamat.
6. Roh anak-anak orang yang beriman akan berada di gunung dari minyak misik.
7. Roh orang-orang kafir akan berada dalam neraka Sijjin, mereka diseksa berserta jasadnya sampai hari Kiamat."

Telah bersabda Rasullullah S.A.W: Tiga kelompok manusia yang akan dijabat tangannya oleh para malaikat pada hari mereka keluar dari kuburnya:-

1. Orang-orang yang mati syahid.
2. Orang-orang yang mengerjakan solat malam dalam bulan ramadhan.
3. Orang berpuasa di hari Arafah.

Sekian untuk ingatan kita bersama.



3 comments:

saa said...

thanx syah~`
awak berjaya buat saya nanges hu hu~`
lots of info
suke~ :)
teruskan share info macam ni ye~

Bro Syah said...

alhamdulillah,

bkn saya y buat awak nanges,
tp Allah~~~

nk tulis mmng sng, tp nk amal mmng ssh.

doakan sy pun mudah dan dpt terus menangis kerana Allah~~~

Nur Izzati said...

salam ziarah~

kullu nafsin zaikatul maut~

nice sharing~